Sunday, June 8, 2008

Fiqh Awlawiyyat (Tingkatan Keutamaan) Dalam Islam

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Rasul junjungan , ahli keluarga baginda, para sahabatnya dan pengikut dan pendokong kebenaran Islam hingga ke hari qiamat.

Penulisan ringkas ini menjadikan persoalan berikut :-
1) Kewujudan tingkatan keutamaan dalam amalan menurut Islam.
2) Persoalan pertembungan kepentingan kebaikan (maslahat) dalam sesuatu masa & kaedah penyelesaian.
3) Persoalan pertembungan maslahat dan mafsadah dan kaedah penyelesaian Islam.
4) Beberapa prinsip Islam dalam hal awlawiyyat (priority).

KEWUJUDAN TINGKATAN KEUTAMAAN DALAM AMALAN MENURUT ISLAM

Antara dalil-dalil yang menjelaskan konsep ini adalah seperti berikut :
1) Al-Quran
a. Firman Allah SWT :
أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن آمن بالله واليوم الآخر وجاهد في سبيل الله لا يستوون عند الله
Ertinya : “Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah..” ( Ayat At-Tawbat : 19)
b. Al-Hujurat : 13
c. Az-Zumar : 9
d. An-Nisa : 95-96
e. Faatir : 32

2) As-Sunnah
a. Sabda Nabi SAW : Ertinya : “Iman itu mempunyai 70 lebih cabang, yang terunggul adalah kalimah “Tiada Tuhan melainkan Allah” , dan tahap yang paling rendah adalah membuang gangguan dari jalan raya.” ( Al-Bukhari, Muslim , at-Tirmidzi )
b. Sabda Nabi SAW : Ertinya : “Amalan yang paling disukai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit”
c. Sabda Nabi SAW : Ertinya : “Solat berjemaah adalah lebih utama dari solat bersendirian 27 kali ganda keutamaan” ( Bukhari dan Muslim )
d. Sabda Nabi SAW : Ertinya : “Sesungguhnya kedudukan seseorang dari kamu yang berjuang pada jalan Allah adalah lebih utama dari solat (sunat) seseorang kamu di rumahnya selama 70 tahun” (At-Tirmidzi, hadith hasan menurut Tirmidzi dan Shohih menurut al-Hakim & dipersetujui oleh az-Zahabi)


BEBERAPA PERKARA ASAS BERKAITAN MASLAHAT

Sebelum kita memasuki topik ini, menjadi kewajipan bagi kita untuk mengetahui pembahagian ‘maslahat’ menurut para ulama Islam serta bagaimana kaedah mengenalpastinya. Berikut adalah penerangannya secara ringkas :-

1) Maslahat dan Pembahagiannya.
Sebagaimana yang telah diadun dengan teliti oleh para ulama usul fiqh Islam, maka hasilnya mereka membahagikan maslahat seperti berikut :
a. Ad-Dharuriyyat : Keperluan utama manusia, tanpanya tergugat kehidupan dan membawa kehancuran.

Setelah dilakukan penelitian penuh (al-Istiqra’) terhadap nusus al-Quran dan Hadith, maka cendikiawan Islam telah menyusunnya menurut tingkatan keutamaan seperti berikut [1] :-
• Keperluan Agama : Kewajiban menyebar dan menjaganya dari ancaman musuh.
• Keperluan Nyawa : Kewajiban menjaganya dari segala jenis ancaman.
• Keperluan Aqal : Kewajiban menggunakannya bagi mengenal Allah dan menjaganya dari rosak.
• Keperluan Keturunan & Maruah : Kewajiban bagi memastikannya aman dari segala percampuran keturunan dan segala yang boleh mencarik maruah.
• Keperluan Harta : Kewajiban memanfaatkannya di sumber yang terpuji dan menjaganya dari ancaman.

b. Al-Haajiyyat : Sesuatu perkara yang manusia boleh hidup tanpanya tetapi dalam keadaan yang amat sukar.

c. At-Tahsiniyyat : Perkara-perkara sampingan bagi manusia serta sebagai pelengkap dan hiasan.

2) Kaedah mengenalpasti maslahat.
Pertamanya, maslahat yang ingin dikenalpasti datang dalam dua bentuk, iaitu :-
a. Maslahat duniawi @ kebaikan dunia : Boleh dikenalpasti menggunakan aqal yang shohih, pengalaman dan adat. Demikian pandangan sebahagian besar ulama Usul Fiqh Islam , antara mereka adalah Imam Malik B. Anas ( 179 H), Imam Al-Juwayni As-Syafie ( 478 H), Imam As-Sarakhasi Al-Hanafi ( 490 H) , Imam Abu Hamid Al-Ghazali ( 505 H), Imam Izuddin B Abd Salam ( 660 H) & Imam Ibn Taymiah Al-Hanbali ( 728 H). [2]
b. Maslahat ukhrawi @ kebaikan akhirat : Tidak boleh ditentukan dan dipastikan kecuali melalui nas al-quran atau hadith. [3]

Para ulama telah pun meletakkan pelbagai kaedah bagi mengenalpasti maslahat ukhrawi dan duniawi, antaranya seperti berikut [4] :-
a) Memerhati dan meneliti nusus al-quran dan hadith yang jelas maksudnya.
b) Mengenalpasti maslahat dan kehendak Syara’ ( Maqasid as-Syari’) melalui dalil-dalil perintah dan larangan.
c) Penelitian terhadap ‘illah hukum dan seterusnya menentukan Maqasid as-Syara’ darinya.
d) Kajian menyeluruh (istiqra) terhadap hukum-hukum yang telah sedia ada dan dalil-dalil hukum syara, dan seterusnya menentukan maqasid syara’ darinya.
e) Mengambil kefahaman para sahabat hasil pemahaman mereka terhadap dalil-dalil.
f) Menggunakan aqal hasil percubaan, pengalaman dan adat yang sihat.

PERSOALAN PERTEMBUNGAN KEPENTINGAN POSIITIF (MASLAHAT) DALAM SESUATU MASA DAN KAEDAH PENYELESAIAN.

Kaedah Penyelesaian pertembungan dua maslahat (kepentingan).

Dalam hal ini, kita dikehendaki menggunakan segala kepakaran ilmu dan pengalaman bagi mengukur dan menimbang kekuatan sesuatu maslahat di antara satu sama lain.
Secara ringkas, kaedah berikut boleh diguna pakai setelah penentuan sifat maslahat dibuat:-
• Maslahat akhirat di utamakan dari maslahat dunia.
• Maslahat yang dinikmati oleh ramai diutamakan dari maslahat yang hanya dinikmati oleh seorang atau kumpulan yang lebih kecil.
• Maslahat yang yakin boleh dicapai diutamakan dari maslahat yang kurang yakin.
• Maslahat yang lebih besar kesannya diutamakan dari yang kecil kesannya.
• Maslahat yang boleh berkekalan diutamakan dari maslahat yang terputus dan cepat hilangnya.
• Maslahat yang berkaitan perkara pokok dan asas diutamakan dari maslahat berbentuk ‘syakliah’ (bentuk dan rupa).
• Maslahat masa depan yang diyakini diutamakan dari maslahat semasa yang lemah.

Antara dalil pertimbangan antara maslahat seperti di atas adalah perjanjian hudabybiah dan dimeteri oleh rasul SAW, yang mana umumnya dilihat kerugian di pihak Islam, tetapi hakikatnya maslahat yang lebih besar di nikmati oleh pihak Islam kerana genjatan senjata selama 10 tahun hasil dari perjanjian itu, umat Islam berupaya menyebarluaskan dakwah Islam sehingga mendapat kekuatan yang nyata selepas perjanjian. [5]

KAEDAH PENYELESAIAN PERTEMBUNGAN DUA MAFSADAH(KEBURUKAN)

Sekali lagi, ilmu, pengalaman dan kepakaran yang didasari al-quran dan sunnah diperlukan bagi menentukan tahap keseriusan sesuatu keburukan yang mungkin timbul daripada sesuatu tindakan. Ini kerana, sebagaimana kebaikan yang berbeza-beza tingkat kekuatannya, demikian juga keburukan yang berbeza kesan seriusnya.

Maka setelah penentuan tahap keseriusan mafsadah dibuat, kaedah fiqhiyyah berikut boleh digunakan pakai apabila berlaku pertembungan dalam dua jenis mafsadah/mudarat :-
• الضرر يزال بقدر الإمكان
Ertinya : Menolak mudarat / mafsadah ditolak sedaya upaya yang ada. ; ini bermakna kita dituntut untuk menolaknya dan meminimakan penggunaannya selagi ada ruang
• الضرر لا يزال بضرر مثله أو أكبر منه
Ertinya : Mudarat tidak boleh diatasi dengan menggunakan mudarat sejenisnya.

• لا ضرر ولا ضرار
Ertinya : Tidak harus memulakan mudarat, dan tidak harus membalas sesuatu kemudaratan dengan kemudaratan yang lain.

• يرتكب أخف الضررين وأهون الشرين
Ertinya : Menempuh kemudaratan yang lebih ringan apabila terdapat dua kemudaratan yang perlu ditempuh.

• يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام
Ertinya : Menanggung mudarat yang bersifat khas, adalah perlu apabila dengannya dapat menolak mudarat yang terkena pada umum.


KAEDAH PENYELESAIAN PERTEMBUNGAN MASLAHAT DAN MAFSADAH
Islam menggariskan beberapa kaedah dalam menyelesaikan pertembungan ini seperti berikut :-
• إن درء المفاسد مقدم على جلب المصالح
Ertinya : Menolak keburukan / mudarat diutamakan dari memperolehi maslahat ; Iaitu apabila kedua-duanya sama berat. Tetapi kiranya salah satu berat , maka perlu mengikut kaedah lain di bawah.
• إن المفسدة الصغيرة تغتفر من أجل المصلجة الكبيرة
Ertinya : Kemudaratan yang kecil tidak diambil kira dalam usaha meraih kemaslahatn yang besar.
• وتغتفر المفسدة العارضة من أجل المصلحة الدائمة
Ertinya : Tidak diambil kira keburukan yang terputus-putus , dalam usaha meraih kemaslahatn yang kekal dan berterusan.
• لا تترك مصلحة محققة من أجل مفسدة متوهمة
Ertinya : Tidak harus meninggalkan maslahat yang pasti kerana takutkan kemudaratan yang tidak pasti dan menurut andaian yang lemah.

BEBERAPA PRINSIP ISLAM DALAM TINGKATAN KEUTAMAAN MENURUT AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Antara Asas Utama : Keutamaan Kualiti Dari Kuantiti
1) Celaan Allah terhadap kumpulan kuantiti jahil . al-Ankabut:63 ; al-‘Araf: 187 ; al-Baqarah : 243 ; al-An’am : 116
2) Pujian Allah & Rasul terhadap kualiti walaupun kurang kuantiti :
Shod : 24 ; Anfal:26 ; Hud : 116
Sabda Nabi SAW : الناس كإبل مائة لا تجد فيها راحلة [6]
Erti : Manusia yang ramai seumpama unta-unta yang banyak, hampir-hampir tidak dapat diperolehi dari kalangannya yang sesuai untuk dibawa bermusafir ( kerana tiada kualiti) .
3) Nisbah ukuran kekuatan seorang mukmin berbanding musuh, ia yang dijelaskan oleh Allah SWT :-
a- Nisbah Dalam keadaan kuat :-
ياأيها النبي حرض المؤمنين على القتال إن يكن منكم عشرون صابرون يغلبوا مائتين وإن يكن منكم مائة يغلبوا ألفا من الذين كفروا بأنهم قوم لا يفقهون .
Ertinya : Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. (Anfaal : 65 )

b. Nisbah Dalam keadaan lemah :-
الآن خفف الله عنكم وعلم أن فيكم ضعفا فإن يكن منكم مائة صابرة يغلبوا مائتين وإن يكن منكم ألف يغلبوا ألفين بإذن الله والله مع الصابرين.
Ertinya : Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar. ( Anfaal : 66)


KEFAHAMAN KEUTAMAAN DALAM BIDANG PEMIKIRAN

1) Keutamaan Ilmu dari ‘amal
Dalil :
Firman Allah SWT : والله يعلم متقلبكم ومثواكم فاعلم أنه لا إله إلا الله واستغفر لذنبك وللمؤمنين والمؤمنات
Ertinya : “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) dan KETAHUILAH bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).” ( Muhammad : 19)

Sabda Nabi SAW : من يرد الله به خيراً يفقهه في الدين
Ertinya : “Barangsiapa yang Allah SWT inginkan kebaikan bagi seseorang maka Allah akan memahamkan ia dalam bidang agamanya.” [7]

Khalifah Umar bin Abd Aziz berkata : من عمل في غير علم كان ما يفسد أكثر مما يصلح
Ertinya : Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, maka kerosakan lebih banyak dihasilkan daripada kebaikan. [8]

Para Ulama berkata : Menjadi pejuang Rabbani sebagaimana yang terdapat di dalam firman Allah dalam Al-Imran : 79 , adalah mereka yang mengajar manusia dengan mendahulukan ajaran isu-isu furu’ yang mudah sebelum memasuki bab usul yang sukar. [9]

2) Keutamaan Faham dari hafalan.
Dalil : فلولا نفر من كل فرقة منهم طائفة ليتفقهوا في الدين ولينذروا قومهم إذا رجعوا إليهم لعلهم يحذرون
Ertinya : “..oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari & memahami secara mendalam ilmu agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” ( At-Tawbat : 122)


3) Keutamaan Fahami Maqasid Dari Berpegang Kepada Zahir Nas Semata-mata.
Dalil : ربنا ما خلقت هذا باطلا سبحانك
Ertinya : Ya tuhan kami, sesungguhnya engkau tidak jadikan penciptaan ini dengan sia-sia (tanpa tujuan dan hikmah)..( Al-A;raf : 54 )
Berkata Dr Yusoff al-Qaradawi dalam komentarnya terhadap ayat di atas berkata : “ lalu kami mengatakan juga ; Wahai tuhan kami sesungguhnya tidaklah kamu menysyariatkan sesuatu hukum kecuali bersamanya hikmah” [10]

4) Keutamaan Ijtihad Dari Hanya Bertaqlid.
Dalil : ولا تقف ما ليس لك به علم
Ertinya : “Dan janganlah kamu berpegang degnan sesuatu perkara yang kamu tidak punyai ilmu (dengan keyakinan ilmu) dengannya” ( al-Isra’ : 36 )


KEFAHAMAN KEUTAMAAN DALAM BIDANG DAKWAH

1) Keutamaan ‘rukhsoh’ dan ‘taysir’ (memberi keringanan dalam hal ijtihad zonniah) Dari ‘tasydid’ (memberatkan dengan fatwa-fatwa sukar).
Dalil : Firman Allah : يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر
Ertinya : “Allah berkehendakkan untukmu kemudahan dan tiada berkeingin menyusahkanmu” ( al-Baqarah : 185)

Hadith dari Asiyah ra , beliau menjelaskan :
ماخير رسول الله صلى الله عليه وسلم بين أمرين إلا أخذ أيسرهما ما لم يكن إثماً , فإذا كان إثماً كان أبعد الناس عنه
Ertinya : Tidaklah Rasulullah SAW diberi pilihan terhadap dua perkara (yang harus) kecuali baginda akan memilih yang terlebih mudah ( untuk ummatnya) selagi mana ia tidak membawa kepada dosa, kiranya ia boleh menjerumuskan ke arah dosa, maka Nabilah orang yang terjauh dari perkara tersebut” [11]

2) Keutamaan ‘at-Tadarruj’ (beransur-ansur) Dari Membuat Perubahan Mendadak.
Berkata Khalifah Umar Ab Aziz r.a kepada anaknya apabila didesak untuk membuat perubahan drastik tatkala beliau memegang tampuk pemerintahan :
لا تعجل يا بني , فإن الله ذمّ الخمر في القرآن مرتين , وحرمها في الثالثة , وإني أخاف أن أحمل الحق على الناس جملة , فيدَعوه جملة , ويكون ذا فتنة .
Ertinya : “Jangan tergesa-gesa ya anakku, sesungguhnya Allah mencela arak di dalam al-Quran dua kali, dan mengharamkannya di kali yang ketiga, dan aku bimbang kiranya aku membawa kebenaran ini kepada manusia secara sekaligus (drastik) , maka mereka meninggalkannya juga sekaligus, maka berlakulah fitnah.” [12]

3) Keutamaan memahami fleksibiliti fatwa untuk berubah (dalam hukum ijtihad zonni) menurut masa dan keadaan dari berpegang kepada fawa lampau tanpa mengendahkan perubahan persekitaran.
Qaedah Fiqhiyyah [13] : لا ينكر تغير الأحكام بتغير الأزمان والأمكنة
Ertinya : Tidak diingkari bahawa hukum (zonni) berubah menurut zaman dan tempat.
Berkata Imam Al-Qarafi ( 683 H) : “ Sesungguhnya jumud dalam mengambil ijtihad para fuqaha silam membawa kepada kesilapan dalam fatwa..”

4) Keutamaan Berhujjah Dengan Dalil Quran, Sunnah Dari Fakta Logik Aqal.
Firman Allah : ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة
Ertinya : “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, …”( An-Nahl : 125 )

Para mufassir menyebut erti ‘al-Hikmah’ adalah Al-Quran dan As-Sunnah, demikian pendapat Imam Al-Mawardi, Al-Fakhrurazzi dan lain-lain. Disamping terdapat juga tafsiran yang lebih terperinci menghuraikan bahawa hikmah adalah ‘ hujjah yang qat’ie yang mematah hujjah mad’u’, terdapat juga yang menafsirkannya sebagai ‘kata-lata dan tindakan yang tepat , dalam waktu yang tepat’ , yang lain pula menafsirkannya sebagai “ Menzahirkan kebenaran dengan perantaraan ilmu dan aqal” [14]

5) Keutamaan berdialog dan bermunaqasyah dengan orang yang jahil dari terus mengenepikan mereka dan menyerang mereka dengan makian dan cacian.

Firman Allah SWT : ياأيها النبي جاهد الكفار والمنافقين واغلظ عليهم
Ertinya : “Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.” ( At-Tawbah : 73 )

Imam Fakhruddin Al-Razi menyatakan erti “ bertindak keras ‘ di atas bermakna keras dalam berhujjah dengan orang munafiq , manakala keras dengan tindakan fizikal kepada penentang Islam kafir. ( Rujuk tafsir al-Kabir @ Mafatih al-Gyaib )
Dr Yusoff Qaradhawi menyatakan : Jihad Kafir dan Munafiqin terdapat 4 peringkat : 1)Dengan hati 2) Dengan Lisan 3 ) Dengan Harta 4) Dengan tubuh
Adapun Jihad kuffar lebih khusus kaedahnya dengan menggunakan kekuatan, manakala jihad munafiq lebih khusus dengan menggunakan lisan. [15]

6) Keutamaan mengislah muslim dari dakwah non-muslim.

KEFAHAMAN KEUTAMAAN DALAM BIDANG AMAL
1) Keutamaan amal istiqamah dari amal yang terputus-putus.
Dalil : Sabda Nabi SAW : أحب الأعمال إلى الله أدوامها وإن قلّ
Ertinya : “Sebaik-baik amalan di sisi Allah adalah yang berterusan walaupun sedikit” [16]

2) Keutamaan amal yang menyeluruh manfaatnya dari amal yang hanya terhad manfaatnya individu.
Dalil : Hadith-hadith yang menyebut keutamaan ilmu berbanding ibadah.
Antaranya : إن الله وملائكة وأهل السموات والأرض حتى النملة في جحرها , وحتى الحوت ليصلون على معلم الناس الخير
Ertinya : “Allah, para Malaikatnya dan ahli langit sehingga semua di dalam sarang2nya dan ikan-ikan di lautan sentiasa mendoakan kebaiakn dan keampunan buat para pengajar ilmu kebaikan” [17]
Sabda Nabi :
ألا أخبركم بأفضل من درجة الصلاة والصيام والصدقة ؟ إصلاح ذات البين , فإن فساد ذات البين هي الحالقة
Ertinya : Adakah kamu ingin aku sebutkan apakah amalan yang terlbeih baik dari darjat solat (sunat seorang diri) dan puasa dan sedeqah? , itulah usaha pemurnian kefahaman Islam dalam ahli keluarga& sahabat handai, sesungguhnya kerosakan kefahaman mereka adalah pencukur .. Nabi SAW menjelaskan kemudian : Ia adalah pencukur agama(kiranya tidak diperbaiki) . [18]

3) Keutamaan amal yang lama kesannya dari amal yang pendek kesannya.
Sabda Nabi : إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث ...
Ertinya : Pabila mati anak Adam, terputus semua amalannya kecuali 3 perkara.. [19]

4) Keutamaan bangkit dan beramal untuk kebaikan masyarakat dari duduk diam ( ketika musim fitnah dan cabaran) .
Sabda Nabi SAW :
ائتمروا بالمعروف , وانتهوا عن المنكر … فإن من ورائكم أياماً , الصبر فيهن مثل القبض على الجمر , للعامل فيهن مثل أجر خمسين رجلاً يعملون مثل عمله : قيل يارسول الله أجر خمسين رجلاً منا أو منهم ؟ قال : بل أجر خمسين منكم !!
Ertinya : “Serulah kepada kebaikan dan laranglah dari kemungkaran …dan sesungguhnya akan datang satu masa kelak, mereka yang bersabar (dalam menghadapi fitnah) seperti pemegang bara-bara api, manakala mereka yang bekerja (untuk Islam) di ketika saat itu mendapat ganjran 50 kali ganda pahala amal seseorang . Sahabat bertanya : Adakah ganjarannya lebih dari 50 ganda seperti amalan sesama mereka atau berbanding kami? , berkata Nabi : Bahkan , lebih 50 kali dari amalan kamu” [20]

5) Keutamaan pemurnian amalan hati dan amalan anggota.
Firman Allah : وما أمروا إلا ليعبدوا الله مخلصين له الدين حنفاء
Ertinya : Tidaklah kamu diseru kecuali memperabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas ( Al-Bayyinah : 5 )
Sabda Nabi SAW : إن الله لا ينظر إلى أجسامكم وصوركم , ولكن ينظر إلى قلوبكم
Ertinya : “Allah tidak melihat kepada tubuh kamu dan rupa kamu ( dalam hisab amal) , tetapi dilihat dan ditelitinya hati kamu” [21]
ألا إن في الجسد مضغة , إذا صلحت صلح الجسد كله , وإذا فسدت فسد الجسد كله , ألا وهي القلب
Ertinya : “Ketahuilah, di dalam jasad add seketul daging, bila elok eloklah seluruh jasad, jika rosak, rosaklah seluruh jasad, ketahuilah ianya adalah HATI” [22]

6) Keutamaan memahami keutamaan sesuatu amalan berubah menurut suasana dan keperluan.

KEFAHAMAN KEUTAMAAN DALAM MEMAHAMI PERINTAH SYARA’
1) Keutamaan kemantapan usul aqidah dari hal ehwal furu’ aqidah dan fiqh.
2) Keutamaan menunai dan memahami perintah fardhu dari perkara sunat.
3) Keutamaan Fardhu ‘ain dari faardhu kifayah.
4) Keutamaan melunaskan haq jama’ah dari haq peribadi.

KEFAHAMAN KEUTAMAAN DALAM BIDANG PEMULIHAN MASYARAKAT.
1) Keutamaan mengubah individu kurang mampu dalam organisasi dari mengubah seluruh organisasi.
2) Keutamaan fokus membentuk benteng dan jawapan dalam pertempuran minda dari kesibukan dalam pertempuran fizikal.

Pihak penulis tidak menyebut dalil bagi semua prinsip keutamaan kerana tidak ingin memanjangkan penulisan ringkas ini, bagaimanapun ia akan disebut dengan ringkas dalam semasa pembentangannya kiranya kedapatan waktu untuk tujuan itu, InsyaAllah.

Manakala untuk mendaptkan huraian lengkap bagi sebahagian besar isi penulisan ini, bolehlah merujuk kitab “Fiqh Awlawiyyat : Dirasat Jadidah fi Dhaw al-Quran wa As-Sunnah” oleh Tuan Guru kami Syeikh Prof Dr Yusoff Al-Qaradawi.

Apa yang tepat dan benar, datang dari petunjuk Allah SWT , manakala yang lemah dan silap hasil kelemahan diri dan gangguan Syaitan.

No comments: