Sunday, July 1, 2007

Peranan, Ciri-ciri dan Persediaan Harakah Islamiah

Peranan Harakah Islamiyah ialah membawa manusia supaya mengabdikan diri kepada Allah sama ada secara individu atau jama'ah dengan berusaha dan bekerja untuk menegakkan masyarakat Islam yang menjadikan Kitabullah (Al-Qur'an) dan Sunnah Rasulullah s.a.w sebagai sumber hukum dan pengajarannya.

Harakah Islamiyah ialah satu tanzim 'alami yang merangkumi para petugas dalam arena dakwah di seluruh pelosok muka bumi. Untuk mencapai matlamat di atas, Harakah Islamiyah menggunakan dakwah Islamiyah yang bersih lagi murni, sesuai dengan permasalahan dan tuntutan masa kini dan akan datang. Termasuk dalam cara ini ialah mengajak masyarakat supaya turut serta di dalam gerakan Islam dan menyusun mereka dalam gerakan tersebut. Dalam persediaannya pula mereka mestilah dididik supaya meyakini perjuangan ini supaya dengan keyakinan itu mereka akan bekerja untuk Islam dan berjihad di dalamnya.

Di antara tuntutan yang dimaksudkan ialah menghapuskan penjajahan dan saki baki pemikiran dan falsafahnya, sama ada penjajah timur mahupun barat, sehingga umat Islam kembali semula kepada keperibadiannya yang asal dan bebas.

Sejak hari-hari awalnya Harakah Islamiyah telah memberi perhatian berat dalam urusan membersihkan ajaran Islam dari saki baki bidaah dan khurafat dan mengemukakan Islam kepada orang ramai dalam bentuknya yang murni sesuai dengan keagungannya dan ketinggiannya.

Harakah Islamiyah meyakini bahawa hukum-hukum Islam dan ajarannya bersifat sempurna dan menyeluruh, mampu menyusun seluruh urusan manusia di segala bidang.

Harakah Islamiyah menganggap bahawa kaedah asasi yang menjadi tapak tertegaknya Islam di sepanjang sejarah manusia ialah kaedah "Lailaha illah" (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) iaitu mengesakan Allah dalam uluhiyyah (ketundukan dan kepatuhan) dan hakimiyah (kehakiman dan perundangan) dengan pengertian mengesakan Allah di sudut 'akidah di dalam hati, di sudut ibadah terjelma di dalam syiar-syiar dan di sudut syariat pula terjelma di dalam realiti kehidupan.

Harakah Islamyiah juga meyakini bahawa Islam adalah kekuatan asasi untuk membangunkan umat Islam, kekuatan asasi untuk menyelamatkan seluruh dunia, kekuatan asasi untuk membebaskan manusia dari belenggu penindasan taghut dan para pelaku kezaliman sehingga tidak ada lagi fitnah dan agama seluruhnya hanya untuk Allah.

Harakah Islamyiah berpendapat bahawa menerima dan mengamalkan sistem kapitalis, sosialisme, komunisme dan lain-lain sistem ciptaan manusia merupakan satu kekufuran terhadap Islam yang agung, menderhakai Allah pemilik alam semesta, perjalanan hidup yang tidak dipandukan oleh petunjuk Ilahi, meraba-raba dalam keadaan yang tidak memberikan apa-apa faedah, menghabiskan tenaga-upaya dan masa. Allah berfirman:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya:

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Surah Al-'Imran 3: Ayat 85)

Sebenarnya Al-Imam Hasan Al-Banna rahimahullah (semoga Allah meredainya) telah menyimpulkan tentang peranan Harakah Islamiyah dengan berkata:

"Peranan kita secara umum ialah tegak berdiri menghadapi serangan arus taghut yang terdiri dari tamadun kebendaan, peradaban yang mementingkan kemewahan dan nafsu-syahwat, yang telah meratah bangsa-bangsa umat Islam. Tamadun ini telah menjauhkan umat dengan kepimpinan Nabi s.a.w dan petunjuk Al-Quran, ia telah menghalang alam jagat ini daripada cahaya petunjuk dan menyebabkan umat Islam mundur terkebelakang beratus-ratus tahun. Peranan ini mestilah berterusan sehinggalah bumi kita bebas dari belenggunya dan bangsa kita terselamat dari balanya. Dan peranan kita bukanlah terhad di sini sahaja malah kita akan menghadapi dan memerangi peradaban tersebut di bumi tempat kelahirannya sehingga seluruh alam ini akan melaungkan nama Nabi Muhammad s.a.w sehingga manusia semuanya meyakini Al-Quran dan naungan Islam akan meneduhi alam. Di saat inilah tercapainya cita-cita seorang muslim, maka di kala itu tiada lagi fitnah ke atas agama ini dan jadilah agama ini semata-mata bagi Allah. Firman Allah:

فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ(4)بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ(5)

Maksudnya:

Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira; 5- Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Rum 30: Ayat 4-5)

Inilah peranan dan tanggungjawab kita secara umum. Adapun secara terperincinya maka tanggungjawab kita kepada umat Islam ialah:

1. Sistem Pemerintahan Dalam Negeri.

Dengan wujudnya sistem ini akan terlaksanalah hukum-hakam sebagaimana yang dituntut dalam firman Allah:

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

Maksudnya:

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanya sanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq. (Surah Al-Maidah 5: Ayat 49)

2. Sistem Hubungan Antarabangsa.

Dengan wujudnya sistem ini akan terlaksanalah bentuk perhubungan sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Maksudnya:

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Surah Al-Baqarah 2: Ayat 143)

3. Sistem Amali Dalam Kehakiman.

Sistem ini adalah bersumber dari firman Allah:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya:

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (Surah Al-Nisa' 4: Ayat 65)

4. Sistem Pertahanan Dan Ketenteraan.

Dengan perlaksanaan sistem ini dapat digerakkan rakyat umum sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah:

انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya:

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). (Surah Al-Taubah 9: Ayat 41)

5. Sistem Ekonomi (Iqtisad).

Sistem ini bertujuan membebaskan kekayaan, harta-benda, negara dan individu-individu berdasarkan firman Allah:

وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ قِيَامًا

Maksudnya:

Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kekamu. (Surah Al-Nisa' 4: Ayat 5)

6. Sistem Kebudayaan Dan Pelajaran.

Sistem ini adalah untuk menghapuskan kejahilan dan kebodohan selaras dengan perintah wahyu yang pertama dari Al-Quran:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

Maksudnya:

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan." (Surah Al-'Alaq 96: Ayat 1)

7. Sistem Kekeluargaan dan Rumah-tangga.

Sistem adalah untuk membentuk putera-puteri yang Muslim dan golongan dewasa Muslim yang melaksanakan perintah Allah dalam firman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala). (Surah At-Tahrim 66: Ayat 6)

8. Sistem Hidup Perseorangan.

Sistem ini adalah bertujuan menjadi pedoman hidup bagi individu secara khusus supaya kehidupannya berjaya mencapai maksud firman Allah:

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا

Maksudnya:

"Sesungguhnya beruntunglah (berjayalah) sesiapa yang membersihkan dirinya." (Surah Asy-Syams 30: Ayat 9)

9. Menghidupkan roh atau semangat kejiwaan secara keseluruhan dalam setiap diri individu di kalangan ummah sama ada pemerintah ataupun rakyat kerana melaksanakan tuntutan Allah Taala:

وَابْتَغِ فِيمَا ءَاتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya:

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. (Surah Al-Qasas 28; Ayat 77)

10. Akhirnya kita mahu supaya lahirnya individu muslim, rumah tangga muslim, rakyat muslim dan pemerintahan Islam. Kita ingin membina sebuah negara (daulah) yang mampu memimpin negara-negara Islam yang lain, sebuah negara merangkumi seluruh umat Islam, sebuah negara yang dapat mengembalikan keagungan mereka, mengembalikan tanah air mereka yang telah hilang dan mengembalikan tanah air mereka yang dirampas dan di tawan. Selain dari peranan dan tanggungjawab tadi, kita mahu supaya Daulah Islamiyah ini mengepalai pembawa panji-panji jihad dan dakwah ke seluruh alam sehingga dunia ini dapat mengecap kebahagiaan dari ajaran Islam.



Ciri-ciri Prinsip Harakah Islamiah

1. Gerakan Yang Bersifat Rabbaniyyah.

Harakah Islamiyah adalah bersifat Rabbani kerana keseluruhan konsep, hukum-hakam, akhlak, tata-tusila dan pemikirannya adalah bersumber dari agama Allah yang kekal abadi dan risalah yang terakhir. Harakah Islamiyah adalah satu gerakan menyeru manusia kepada Allah bukannya kepada kepentingan para petugas di dalamnya atau orang-orang yang memikul tanggungjawab. Allah berfirman:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya:

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah Al-An'am 6: Ayat 162)

Harakah Islamiyah bukanlah sebuah organisasi sebagaimana sebuah parti politik biasa pada masa sekarang. Harakah Islamiyah juga bukanlah sebuah organisasi yang menjadi tempat perebutan kuasa untuk menjadi pemimpin bagi mencapai tujuan-tujuan atau kepentingan peribadi sebagaimana yang berlaku dalam organisasi-organisasi lain pada hari in. Tetapi yang lebih penting dalam Harakah Islamiyah ialah pemimpin atasan atau orang besar terlebih dahulu mematuhi syariat Allah sebelum diikuti oleh para pengikut bawahan dan anggota biasa.

2. Gerakan Yang Bersifat Tersendiri.

Harakah Islamiyah bersifat tersendiri dengan maksud kelahirannya di tengah-tengah (umat Islam), (di atas dasar kesedaran mereka sendiri) bukan diimpot atau ditiru dari timur mahupun dari barat sebagaimana lahirnya organisasi dan persatuan-persatuan yang lain. Ini adalah kerana dakwah kita (yang dibawa oleh Harakah Islamiyah) adalah dakwah kepada Allah manakala perasaan berhajat kepada agama pula merupakan satu ciri yang sangat kuat bagi umat ini. Melalui cara inilah juga umat Islam dikenali untuk jangka waktu yang amat penting. Umat Islam di zaman akhir ini tidaklah dapat diperbaiki melainkan oleh sesuatu yang telah memperbaiki dan memperelokkan umat Islam sebelumnya, iaitu ajaran Islam itu sendiri.

11. Gerakan Pembawa Kemajuan.

Dengan segala kendungan bawaannya sama ada dari sudut akidah, syariat dan pandangannya terhadap 'alam, manusia dan kehidupan menjadikan Harakah Islamiyah gerakan yang paling cekap dan paling mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah manusia dan kehidupan dibandingkan dengan undang-undang ciptaan manusia yang bersifat serba lemah dan serba kekurangan.

Namun demikian kemajuan dalam Islam bukanlah sebagaimana yang dikehendaki dan difahami oleh golongan yang mendakwakan diri sebagai pejuang kemajuan, kerana kemajuan mengikut pengertian golongan ini adalah palsu lagi merosakkan, kemajuan yang terlepas dari ikatan akhlak dan kesusilaan yang luhur. Kemajuan dalam Islam dalam erti kata yang sebenar ialah kemajuan dalam memurnikan perasaan manusia, pemikiran mereka dan akhlak mereka, kemajuan dalam memperdalamkan ilmu pengetahuan dan menerokai atau menyingkap rahsia-rahsia di sebalik kejadian alam yang agung ini, yang bukan bertujuan semata-mata untuk menciptakan satu pencapaian baru dalam bidang ilmu. Tetapi tujuan sebenar kemajuan tersebut ialah demi untuk demi untuk menambahkan lagi makrifat manusia terhadap kebesaran, keindahan, kekuatan dan keagungan Allah, Tuhan Semesta Alam ini.

Kemajuan dalam Islam menyuruh manusia supaya mengambil segala alat-alat ciptaan sesuai dengan penerimaan 'akal-fikiran dengan syarat barang-barang tersebut hendaklah digunakan kepada perkara-perkara yang membawa kebaikan kepada umum. Inilah yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah s.a.w:

"Ambillah hikmah itu dari mana saja datangnya".

Dan sabdanya lagi yang bermaksud:

"Hikmat itu barang kehilangan orang Islam, di mana saja beliau menemuinya, ialah yang lebih berhak menerimanya."

12. Gerakan Yang Syumul.

Harakah Islamiyah mestilah gerakan yang syumul dengan pengertian dakwah dan usaha kerjanya tidaklah dibataskan untuk memperbaiki satu sudut atau sudut-sudut tertentu sahaja dari kehidupan ini, dengan membiarkan sudut-sudut yang lain kerana sifat-sifat keIslaman Harakah Islamiyah itu sendiri menunjukkan kesempurnaan dan kesyumulannya.

Oleh yang demikian gerakannya adalah dakwah salafiyyah kerana ia menyeru manusia supaya kembali berpegang kepada sumber Islam yang asli iaitu Al-Qur'an dan Sunnah rasulullah s.a.w.

Ia juga adalah dakwah dan tarikat sunnah kerana ia bekerja menghidupkan sunnah yang mulia di dalam kehidupan individu dan masyarakat.

Ia juga adalah dakwah yang mempunyai ikatan Rabbaniah (Rabitah Rabbaniah) kerana ia yakin bahawa asas kebaikan itu ialah kebersihan jiwa, kesucian hati dan adanya ikatan hubungan yang mantap dengan Allah s.w.t.

Ia juga merupakan Harakah Siasah (politik) kerana ia bekerja serta bertanggungjawab kepada urusan umat Islam disetiap bidang.

13. Harakah Yang Menjauhi Perselisihan Masalah Fekah.

Harakah Islamiyah meyakini bahawa perbezaan dalam perkara-perkara cabang (furu'iyyah) dalam bidang fekah, adalah perkara yang tidak dapat dielakkan. Oleh yang demikian Harakah Islamiyah berusaha menyeru umat Islam supaya bersatu di atas dasar-dasar pokok (usul) ajaran Islam serta kaedah-kaedah yang telah disepakati.

Berhubung dengan pendirian ini Al-Imam Hasan Al-Banna Rahimahullah merumuskan:

"Kita bukanlah sebuah parti politik, sekalipun politik (siasah) yang berasaskan kaedah-kaedah Islam adalah intisari fikrah kita. Kita bukanlah pertubuhan kebajikan sekalipun amal kebajikan dan khairat adalah di antara tujuan gerakan kita yang sangat besar. Kita juga bukan perkumpulan riadah sekalipun riadah atau rekreasi dan riadah ruhiyyah adalah di antara wasilah-wasilah yang kita amalkan.

Kita bukanlah sebuah jama'ahdalam pengertian seperti pertubuhan-pertubuhan tersebut kerana kelahiran pertubuhan tersebut adalah untuk matlamat-matlamat tertentu dan untuk jangka waktu yang tertentu pula. Boleh jadi pertubuhan-pertubuhan berkenaan ditubuhkan semata-mata kerana ingin mengadakan persatuan dan cita-cita inginkan gelaran dan kedudukan dalam pentadbiran dan organisasi tersebut.

Tetapi perjuangan kita adalah perjuangan yang berdasarkan fikrah dan 'akidah, nizam dan manhaj yang tidak membataskan tujuan dan matlamat hanya kepada bangsa tertentu dan kawasan atau wilayah tertentu sahaja. Perjuangan kita tidak akan berhenti dengan penyelesaian masalah tertentu malah ia akan berterusan hingga ke hari Kiamat kerana Islam adalah sistem ciptaan Tuhan alam semesta ini dan manhaj Rasul-Nya yang paling dipercayai.

Kita menyatakan kepada manusia secara tidak bermegah-megah bahawa kita adalah para pengikut angkatan sahabat Rasulullah s.a.w yang menjadi pembawa panji-panji Islam selepas kewafatan Baginda s.a.w. Kita adalah angkatan yang menjulang kembali bendera Rasulullah s.a.w sebagaimana para sahabat r.a telah melakukannya. Kita akan menyiarkan dakwah baginda sebagaimana yang telah disiarkan oleh mereka. Kita akan memelihara kandungan kitab suci Al-Quran sebagaimana para sahabat telah memeliharanya. Kita adalah pembawa berita gembira melalui dakwah baginda sebagaimana para sahabat telah melakukannya dan ia akan menjadi rahmat ke seluruh alam. Anda pasti akan mengetahui perkhabaran-perkhabarannya dalam sedikit masa lagi.



Ciri-ciri Khusus Harakah Islamiyah

1. Menjauhi Pengaruh Pemerintahan dan Ahli-ahli Politik.

Adalah menjadi kebiasaan bahawa sebahagian dari anggota Harakah Islamiyah adalah terdiri dari pegawai pemerintah dan ahli-ahli politik. Dengan keanggotaan seperti ini mestilah dijaga supaya Harakah Islamiyah tidak diperalat dan diperdagang oleh dua golongan di atas, agar ia kekal dengan sifat bersih, benar dan ikhlas dalam perjuangan.

2. Beransur-ansur Dalam Setiap gerak Langkah.

Harakah Islamiyah mestilah beransur-ansur dalam gerak kerjanya kerana ia menyedari bahawa jalan yang akan dilalui adalah hebat dan jauh manakala matlamatnya pula adalah besar dan mulia. Sebenarnya beransur-ansur di dalam langkah-langkah kerja dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja tertentu mengikut keperluan akan membawa jama'ah kepada matlamat sebagaiman yang dikehendaki.

Al-Imam Hassan Al-Banna telah menetapkan bahawa dakwah ini mempunyai tiga marhalah iaitu:

1. Marhalah Ta'rif (Pengenalan)

Marhalah ini dimulakan dengan menyiarkan fikrah secara umum tentang Islam kepada orang ramai. Cara yang dijalankan diperingkat ini ialah dengan menimbulkan kesedaran, memberi pengajaran, mendirikan institusi yang memberi faedah dan lain-lain cara yang praktikal.

2. Marhalah Al-Takwin (Pembentukan)

Marhalah ini dilaksanakan dengan cara memilih anasir-anasir yang baik (dari marhalah pertama) dan sanggup untuk memikul beban jihad dengan cara menggembleng tenaga mereka dalam kerja-kerja dakwah.

Susunan kerja dakwah dalam marhalah ini adalah bersifat kesufian dari sudut kerohanian dan bersifat ketenteraan dari sudut gerak kerja. Dakwah pada peringkat ini tidak dapat dilaksanakan kecuali oleh orang yang benar-benar mempunyai kesediaan untuk memikul bebanan jihad yang berat dan memakan waktu yang amat panjang. Persediaan paling awal di peringkat ini ialah "Ketaatan yang tidak berbelah bagi" (kepada perjuangan Islam).

3. Marhalah At-Tanfiz (Perlaksanaan)

"Dakwah pada peringkat ini adalah jihad yang tidak mengenal penat lelah dan kerehatan malah amal yang tidak mengenal putus asa demi mencapai matlamat yang diperjuangkan. Ujian dan cabaran tidak dapat dihadapi melainkan oleh orang-orang yang benar keimanannya. Kejayaan di peringkat ini tidak akan dapat dicapai kecuali dengan cara memberi ketaatan yang sempurna dan mutlak".

3. Mengutamakan Kerja dan Hasil Dari Propaganda.

Sebenarnya Harakah Islamiyah mengambil pendirian demikian adalah kerana beberapa perkara yang di antaranya ialah:

1. Ajaran Islam itu sendiri menyebut soal amal ini secara khusus kerana takut (khuatir) kalau-kalau amal berkenaan diresapi oleh sifat riya' yang akbibatnya membawa kepada kebinasaan kepada amal yang dilakukan.

2. Adalah menjadi tabiat amal Islami, di mana ia tidaklah berlandaskan propaganda yang berlebihan dan tidak pula membangkitkan semangat yang tidak dihiasi dengan amal.

3. Seterusnya Harakah Islamiyah tidak membuang tenaga dan masa kecuali kepada kerja-kerja yang membawa hasil dan pembinaan.

4. Islam juga mewajibkan supaya Harakah Islamiyah dan anggotanya melaksanakan perintah Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

"Mintalah pertolongan dalam melaksanakan hajat-hajat kamu dengan (cara) rahsia".

4. Siasah Nafas Panjang.

Tanggungjawab yang besar dan berat yang dibebankan ke atas bahu para petugas di medan dakwah membuktikan betapa perjalanan dakwah ini adalah panjang dan jauh, gerak kerjanya terlalu sukar dan jihadnya adalah sengit. Oleh itu mereka yang mengikuti jalan ini wajib mempunyai persediaan untuk menghadapi segala bentuk kekerasan, kesukaran dan pengorbanan. Allah berfirman:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ(2)وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? 3- Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Surah Al-'Ankabut 29: Ayat 2-3)

Orang-orang yang menggabungkan diri dengan Harakah Islamiyah mestilah berpegang teguh kepada siasah nafas panjang, supaya dengan cara ini dakwah ke jalan Allah dapat dilakukan dengan pandangan yang jelas dan dengan niat menuntut keredaan Allah s.w.t. Mereka tidak akan mundur di tengah perjalanan dan tidak tergesa-gesa hendak merasai hasil kerja sebelum tiba waktunya. Ini semua tidak akan berlaku kecuali setelah mereka memahami bahawa kerajaan Islam adalah wasilah untuk mencapai matlamat perjuangan. Kalaulah sekiranya mereka berjaya melaksanakan pemerintahan Islam, mereka bersyukur kepada Allah. Jika mereka tidak berjaya, tidak pula berputus asa, tidak kecewa dan tidak akan merasa takut. Dengan usaha kerja tersebut bermakna mereka telah menunaikan amanah dan telah melaksanakan kewajipan dakwah, firman Allah:

وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ

Maksudnya:

"Dan kemenangan itu hanya dari Allah". (Surah Al-Anfal 8: ayat 10)

Dan Firman Allah lagi:

وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ

Maksudnya:

"Dan kamu tidak (mampu melakukan) apa yang kamu kehendaki kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah". (Surah Al-Insan 76: Ayat 30)

Boleh jadi ada orang berkata: "Bagaimanakah keadaannya dengan parti-parti politik yang bertindak secara kotor dan menjadi talibarut penjajah telah berjaya menubuhkan kerajaan dan mendapat kekuasaan di sana-sini dalam waktu yang begitu singkat dengan cara yang begitu mudah? Untuk menjawab persoalan tersebut kita mengatakan bahawa kedua-dua jalan (jalan perjuangan Islam dan jalan parti-parti politik) itu adalah berbeza kerana Harakah Islamiyah tidak akan sampai kepada matlamatnya kecuali dengan cara yang berbeza dan bersih. Sekiranya anda rela ditunggangi oleh kekuatan seperti ini atau diperalat oleh penjajah atau yang seumpamanya anda akan mencapai tujuan seperti yang mereka sampai. Ingatlah firman Allah:

فَلِذَلِكَ فَادْعُ وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ

Maksudnya:

"Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka wahai Muhammad kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka." (Surah Al-Syura 42: Ayat 15)

5. Amal: Terus-terang dan Tanzim Rahsia.

Seterusnya beramal untuk Islam tidak sepatutnya dijadikan sebagai suatu rahsia yang dijalankan oleh para pendakwah di belakang tabir, semata-mata kerana takut mereka ditangkap atau menganggap apa ymereka lakukan sebagai satu hikmah atau maslahah. Ini adalah kerana seruan Islam mestilah dilakukan secara lantang dan kalimah kebenaran mestilah diucapkan kerana orang yang berdiam diri dari memperkatakan kebenaran adalah syaitan yang bisu. Rasulullah s.a.w memperingatkan:

"Barangsiapa dari kalangan kamu melihat kemungkaran maka hendaklah ia mengubahnya (mencegahnya) dengan tangan, jika ia tidak mampu maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya, jika ia tidak mampu cegahlah dengan hatinya. Jika demikian itu adalah selemah-lemah iman".

Oleh yang demikian seorang pendakwah itu mestilah memperkatakan tentang kalimah kebenaran di mana saja ia bekerja dan di mana saja beliau berada, sama ada kebenaran itu disuarakannya melalui perkataan yang mampu beliau ucapkan atau melalui perkataan yang mampu beliau ucapkan atau melalui tulisan yang mampu beliau sebarkan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ

Maksudnya:

"Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat dan pengajaran yang baik". (Surah Al-Nahl 16: Ayat 125)

Namun demikian kenyataan di atas tidaklah bermakna Harakah Islamiyah perlu mendedahkan segala perkara seperti taktik (khittah) dan penyusunan (tanzim). Secara mutlak dapatlah dikatakan bahawa pendedahan seperti ini tidaklah membawa apa-apa kebaikan bahkan perbuatan demikian menunjukkan kejahilan tentang Islam itu sendiri dan ini adalah mendedahkan harakah dan anggotanya kepada tipu daya jahat dan penyeksaan oleh musuh-musuh Islam. Kaedah yang mesti menjadi pegangan dalam hal ini ialah "Amal secara terus terang dan kerahsiaan tanzim". Ini berdasarkan amal yang ditujukan oleh Rasulullah s.a.w di dalam sabdanya:

"Mintalah pertolongan dalam memenuhi hajat kamu (dengan cara) rahsia".

Sabdanya lagi:

"Peperangan itu adalah tipu daya".



6. Pengasingan Jiwa Bukan Jasad.

Sejak akhir-akhir ini banyak diperkatakan tentang Uzlah Syu'uriyyah (pengasingan jiwa) yang diutarakan oleh Al-Syahid Sayyid Qutb di mana beliau berkata: "Sesungguhnya menjadi satu kemestian supaya wujud satu barisan hadapan yang berazam mencapai cita-cita ini, terus mara di jalan ini, mara terus dalam menghancurkan jahiliyyah yang bermaharajalela di serata pelusuk bumi, mara terus dalam usaha mengasingkan jiwa dari satu sudut di samping mengadakan hubungan (jasadiyah) dengan jahiliyyah di sudut yang lain.

Pengertian Uzlah yang dimaksudkan oleh Al-Syahid Sayyid Qutb di sini ialah 'uzlah syu'uriyyah' (pengasingan jiwa) dari dikotori atau dijangkiti oleh noda-noda masyarakat jahiliyyah, memisahkan jiwa dengan cara merasai ketinggian iman di samping terus mara dalam gerak kerja menghapuskan jahiliyyah dengan mendedahkan kepalsuan, mencabar kebatilan, terus berkorban dan berjihad tanpa takut kepada celaan orang-orang yang suka mencela.

'Uzlah di sini adalah bermakna perbezaan, yakni perbezaan di antara golongan yang beriman dengan golongan yang kufur, perbezaan dari sudut pemikiran dan pandangan, perbezaan dari sudut akhlak dan tatasusila hidup, perbezaan dari sudut perasaan dan kepekaan. Inilah bentuk 'uzlah yang diseru oleh Islam dan inilah ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w yang terdapat dalam banyak hadis. Antaranya yang bermaksud:

"Jadilah kamu orang yang kuat daya ciumannya di kalangan manusia".

Sabda Rasulullah s.a.w lagi, maksudnya:

"Jangan seseorang dari kamu menjadi orang yang tidak punya pendirian dengan berkata: "Aku bersama orang ramai, jika sekiranya mereka berbuat baik aku pun berbuat baik, jika mereka melakukan kejahatan akupun turut melakukan kejahatan...tetapi hendaklah kamu menetapkan pendirian kamu, maka jika sekiranya manusia berbuat baik, maka hendaklah kamu berbuat baik, tetapi jika mereka berbuat jahat maka hendaklah kamu menjauhkan diri dari berbuat jahat terhadap mereka".

Inilah pengertian 'uzlah yang dimaksudkan manakala dari sudut gerak kerja, harakah, pergaulan dan dakwah tidak ada 'uzlah sama sekali dan tidak ada pengasingan diri. Sekiranya berlaku pengasingan diri nescaya terhentilah gerak kerja, harakah, pergaulan dan dakwah. Dan ingatlah para petugas amal Islami hari ini berhadapan dengan berbagai kumpulan dan golongan manusia. Oleh itu mereka tidak harus berpegang kepada satu hukum atau satu cara sahaja dalam pergaulan dengan mereka.

Manusia-manusia Yang Dihadapi Oleh Para Pendakwah.

1. Di kalangan orang ramai terdapat orang-orang yang telah beriman dan telah berpegang teguh dengan hukum-hakam Islam dalam kehidupan peribadi tetapi tidak melaksanakan kewajipan-kewajipan amal haraki (dalam sebuah jama'ah). Dalam hal ini para pendakwah tidak boleh menyamakan mereka dengan orang atau golongan lain.

2. Selain dari golongan di atas terdapat orang-orang yang menganut agama dan berbangga dengan Islam dalam keadaan mereka sendiri jahil. Mereka ini tidak berpegang dengan hukum-hakam Islam dan mereka ini adalah golongan umat Islam yang terbesar pada hari ini. Para pendakwah tidak seharusnya menyamakan kedudukan mereka dengan kedudukan orang-orang kafir.

3. Ada pula dari kalangan manusia yang menjadi musuh ketat kepada Islam, mereka ini memusuhi Allah dan rasulNya sama ada secara peribadi atau bersama dalam parti-parti politik atau pemimpin-pemimpin kerajaan.

Sikap dan pendirian para pendakwah terhadap golongan di atas semestinya berbeza di antara satu sama lain. Perbezaan ini adalah atas perkiraan dekat atau jauhnya mereka dengan Islam, sejajar dengan penerimaan dan penolakan mereka terhadap Islam, yakni bergantung kepada sikap kepatuhan atau permusuhan mereka terhadap Islam.

Ada di kalangan mereka perlu diberi bimbingan dan asuhan, ada pula yang perlu diberi kesedaran dan ilmu pengetahuan tentang Islam, ada juga yang tidak boleh dihadapi kecuali dengan pedang sementara golongan yang lain pula menjadi penyakit yang sangat berbahaya. Kesemua ini menuntut para pendakwah mempunyai hubungan yang mendalam dan meluas dengan masyarakat, kerana masyarakat adalah bumi tempat mereka beramal dan berjihad. Tetapi bentuk hubungan para pendakwah dalam masyarakat adalah berbeza dengan cara orang biasa. Hubungan mereka adalah dengan bentuk usaha mempengaruhi (supaya menerima Islam) bukan dipengaruhi (oleh noda-noda jahiliyah), hubungan yang membawa kepada pembersihan, bukan hubungan yang membawa kepada kekotoran. Sesngguhnya benar apa yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w di mana baginda bersabda, maksudnya:

"Sesaat kesabaran seseorang kamu di dalam medan jihad adalah lebih baik dari ibadah (biasa) seseorang kamu yang dilakukan selama enam puluh tahun."



7. Matlamat Tidak Menghalalkan Cara.

Kuman-kuman kerosakan yang dibawa oleh aliran-aliran pemikiran dan sistem-sistem yang bukan Islam iaitu teori Micheaveli (yang berpegang kepada kaedah matlamat menghalalkan cara) atau dengan kata lain mengutamakan diri sendiri dengan cara melanggar prinsip-prinsip dan teori-teori yang mereka sendiri laungkan dan serukan.

Berapa banyak dari doktrin dan keyakinan aliran pemikiran Micheaveli ini yang telah terkeluar dari landasannya apabila cuba dilaksanakan secara praktikal sama ada di peringkat pemerintahan ataupun di dalam peringkat perlaksanaan sistem parlimen.

Pada hakikatnya aliran-aliran pemikiran ini tidak dapat menentukan untuk dirinya dan para penganutnya satu keyakinan yang dapat memelihara mereka dari melakukan penyelewengan dan sikap pura-pura. Mereka tidak membezakan sifat-sifat ini dengan apa yang mengambil tempat dalam kancah pertarungan politik dan pemikiran, mereka juga tidak dapat membezakan secara jelas dalam tindak tanduk ahli-ahli politik tradisional dan para pemimpin akidah.

Oleh yang demikian maslahah atau kepentingan rakyat telah berubah menjadi kepentingan parti. Kepentingan parti pula bertukar menjadi kepentingan peribadi bagi pemimpin-pemimpin parti. Oleh yang demikian isu-isu yang berhubung dengan persoalan umat telah menjadi kertas kerja-kertas kerja yang membawa keuntungan, menjadi barang yang diperdagangkan, bolah ditawar-menawar di pasaran. Musuh di masa lampau, kini menjadi teman rapat, teman-teman rapat hari ini esoknya menjadi musuh ketat. Beginilah keadaannya hinggalah ideologi atau fahaman-fahaman ini tidak membawa sebarang erti lagi, yang tinggal hanayalah nama, sloganslogan yang dusta lagi palsu.

Inilah keadaan yang berlaku dalam kancah perebutan kuasa dan ideologi-ideologi ciptaan manusia dan pertarungan inilah yang menjelaskan dan mendedahkan rahsia pergolakan yang tersembunyi dalam ideologi-ideologi tersebut dan inilah sebab yang membolehkannya berkembang dan mendapat kekuasaan dalam masa yang singkat. Pada hakikatnya ideologi-ideologi ini tidaklah terikat dengan akidah dan akhlak dalam erti kata yang sebenarnya malah ia juga tidak mempunyai sikap dan pendirian yang jelas. Yang ada pada mereka hanyalah strategi yang digunakan untuk menindas yang lain dan pertarungan yang sengit untuk mendapat ruang mempergunakan keadaan-keadaan tertentu dan memperniagakan persoalan-persoalan umat walaupun dengan harga yang murah, sekalipun terpaksa mengorbankan ummah itu sendiri atau bangsa seluruhnya.

Tetapi apa yang berlaku dalam Islam dan apa yang diandaikan berlaku adalah berbeza sama-sekali dengan apa yang berlaku dalam ideologi-ideologi tersebut kerana Harakah Islamiyah tidak memisahkan dalam tindakan mereka di antara matlamat dan cara mencapainya, sama ada dari kewajipan syarak, akidah mahupun akhlak. Para petugas yang bekerja untuk Islam pula tidak bekerja kerana kepentingan diri atau menurut keinginan mereka sendiri, malahan mereka terikat dengan panduan-panduan tertentu, terikat dengan tuntutan akidah dan akhlak. Mereka sendiri tidak boleh melepaskan diri dari tuntutan-tuntutan tersebut atau bertindak merobohnya.

Beberapa Penegasan.

1. Bekerja untuk menegakkan kebenaran tidak boleh menggunakan cara-cara yang batil untuk mencapai tujuan dan matlamat perjuangan sekalipun cara yang batil itu hanya dengan satu kalimah dan satu slogan sahaja kerana Allah berfirman:

وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ

Maksudnya:

"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya." (Surah Al-Kahfi 18; Ayat 29)

2. Kebenaran itu adalah satu sifat yang menyeluruh, tidak boleh dibahagi-bahagikan atau dijuzuk-juzukkan. Oleh sebab itu meninggalkan mahupun bertolak ansur dengan satu unit dari kebenaran bererti meninggalkan atau bertolak ansur dalam seluruh kebenaran kerana tidak ada yang wujud lagi selepas petunjuk kecuali kesesatan. Untuk tujuan tolak ansur inilah golongan kafir Quraisy (Mekah) menawarkan kepada Rasulullah s.a.w beberapa tawaran yang lumayan sebagai tukaran dalam beberapa hal yang berhubung dengan akidah. Lantas baginda menjawab secara tegas dengan membaca:


قُلْ يَاأَيُّهَا الْكَافِرُونَ(1)لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ(2)وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ(3)وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ(4)وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ(5)لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ(6

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! 2- Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. 3- Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. 4- Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. 5- Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. 6- Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. (Surah Al-Kaafirun 109: Ayat 1-6)

3. Kebenaran sewajarnya dipertahankan dengan kekuatan malah dikorbankan apa sahaja untuk mempertahankannya dengan tidak tunduk kepada sebarang tawar-menawar sekalipun dalam bentuk godaan nikmat mahupun ancaman siksaan. Kerana inilah tukang-tukang sihir Fir'aun, apabila melihat kebenaran telah jelas (di hadapan mereka), mereka tidak lagi mengendahkan ancaman Fir'aun sebaliknya mereka merasa mulia dengan keimanan mereka, iman yang mengatasi segala bentuk kepentingan diri. Mereka berkata kepada Fir'aun:

فَاقْضِ مَا أَنْتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا(72)إِنَّا ءَامَنَّا بِرَبِّنَا لِيَغْفِرَ لَنَا خَطَايَانَا وَمَا أَكْرَهْتَنَا عَلَيْهِ مِنَ السِّحْرِ وَاللَّهُ خَيْرٌ وَأَبْقَى

Maksudnya:

"Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja. 73- Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan kami dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya." (Surah Taha 20: Ayat 72-73)

Rasulullah s.a.w sendiri ketika ditawarkan kepadanya kerajaan, kemegahan dan harta kekayaan agar baginda mengurangkan dakwahnya, membalas tawaran tersebut dengan bersabda:

"Demi Allah jika sekiranya kamu meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku (dengan harapan) agar aku meninggalkan urusan (dakwahku ini) tidak akan aku tinggalkan sehinggalah Allah menzahirkannya atau aku sendiri binasa kerananya." (Al-Hadis)

4. Para pendukung hendaklah hidup dalam keadaan penuh sedar dan berwaspada. Mereka mestilah berpegang teguh dengan agama Allah dan mengambil petunjuk dari petunjukNya. Maka janganlah mereka tertipu dengan keadaan, atau dipaksa menerima penyeksaan yang tidak sejajar dengan dasar-dasar akidah dan akhlak. Allah memperingatkan:

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

Maksudnya:

"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq." (Surah Al-Maidah 5: Ayat 49)

Sejarah Rasulullah s.a.w telah menceritakan kepada kita bahawa sewaktu raja Ghassan cuba mempengaruhi Kaab bin Malik (salah seorang dari tiga orang sahabat yang tidak ikut serta dalam perang Tabuk bersama Rasulullah s.a.w dengan tetap tinggal di Madinah) dengan menulis sepucuk surat kepada Kaab yang kandungannya antara lain menyebut: "Bahawasanya telah sampai perkhabaran kepadaku bahawa sahabatmu (yakni Rasulullah s.a.w) bersikap dingin terhadapmu, padahal Allah tidaklah menjadikan engkau hina dan terbiar begini. Oleh itu datanglah engkau menggabungkan diri dengan kami". Pada waktu itu memang Rasulullah s.a.w telah pun memutuskan hubungan dengan ketiga-tiga sahabatnya itu di mana tidak seorangpun dari orang Islam bertegur sapa dengan mereka.

Sebaik sahaja membaca surat itu Kaab terus berkata: "Ini juga adalah satu bala ujian yang berpunca dari kesalahan saya mengingkari perintah (Nabi) sehingga membuatkan seorang musyrik berani cuba menggoda saya. Kemudian beliau terus ke dapur lalu membakar surat tersebut.

5. Akhir sekali (mestilah difahami) bahawa kebenaran (al-Hak) adalah sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah, bukannya oleh manusia sekalipun kebenaran itu bercanggah dengan kehendak hawa nafsu, pendapat dan pandangan mereka seluruhnya. Ini adalah kerana Islam tidak menerima sikap tolak ansur dan tunduk kepada kehendak-kehendak umum dalam perkara-perkara yang bercanggah dengan ketentuan syarak sekalipun dalam masalah yang kecil. Menurut logik Islam sifat demikian adalah di anggap nifaq dan melanggar batas-batas yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Sesiapa yang menukarkan keredaan manusia dengan kemurkaan Allah, tidaklah Allah menambah kepadanya melainkan dengan kehinaan dan barangsiapa yang menukarkan keredaan Allah dengan kebencian manusia, tidaklah Allah menambah kepadanya melainkan kemuliaan. Sungguh benar sabda baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

""Jangan seseorang dari kamu menjadi orang yang tidak punya pendirian dengan berkata: "Aku bersama orang ramai, jika sekiranya mereka berbuat baik aku pun berbuat baik, jika mereka melakukan kejahatan akupun turut melakukan kejahatan...tetapi hendaklah kamu menetapkan pendirian kamu, maka jika sekiranya manusia berbuat baik, maka hendaklah kamu berbuat baik, tetapi jika mereka berbuat jahmaka hendaklah kamu menjauhkan diri dari berbuat jahat terhadap mereka".


Persiapan Harakah Islamiyah

Al-Syahid Imam Hasan Al-Banna telah menerangkan tentang persiapan Harakah Islamiyah dengan berkata:

"Persediaan adalah persediaan orang-orang yang terdahulu dari kita dan senjata yang digunakan oleh pemimpin besar kita dan ikutan kita Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya dalam memerangi alam ini dengan bilangan yang kecil dan harta kekayaan yang sedikit tetapi dengan pengorbanan yang benar, itulah yang akan menjadi senjata kita untuk memerangi alam ini sekali lagi".

1. Iman Adalah Persiapan Utama Kita.

1. Orang-orang yang terdahulu dari kita telah beriman dengan keimanan yang mendalam, kukuh bersih dan ampuh terhadap Allah, pertolongan dan bantuanNya. Firman Allah:

إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ

Maksudnya:

"Jika Allah menolong kamu maka tidaklah ada orang yang dapat mengalahkan kamu". (Surah Ali-Imran 3: Ayat 160)

2. Mereka juga beriman secara mendalam dengan manhaj (sistem hidup Ilahi), keistimewaan dan kesesuaiannya dengan kehidupan manusia. Allah menjelaskan:

قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ(15)يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. 16- Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus." (Surah Al-Maidah 5: Ayat 15-16)

3. Mereka juga berpegang dengan kukuh kepada persaudaraan dan kesuciannya. Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara".

4. Mereka juga beriman dengan benar terhadap kebesaran, kemuliaan Allah serta limpahan ganjaran yang bakal dikurniakannya berdasarkan firmanNya:

مَا كَانَ لِأَهْلِ الْمَدِينَةِ وَمَنْ حَوْلَهُمْ مِنَ الْأَعْرَابِ أَنْ يَتَخَلَّفُوا عَنْ رَسُولِ اللَّهِ وَلَا يَرْغَبُوا بِأَنْفُسِهِمْ عَنْ نَفْسِهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ لَا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ وَلَا نَصَبٌ وَلَا مَخْمَصَةٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَطَئُونَ مَوْطِئًا يَغِيظُ الْكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِنْ عَدُوٍّ نَيْلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُمْ بِهِ عَمَلٌ صَالِحٌ إِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya:

"Tidaklah patut bagi penduduk Madinah dan orang-orang yang di sekeliling mereka dari orang-orang "A'rab" ketinggalan daripada (turut berperang bersama) Rasulullah; dan tidaklah patut mereka mengasihi diri mereka sendiri dengan tidak menghiraukan Rasulullah. Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga dan merasai penat lelah dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah Al-Taubah 9: Ayat 120)

5. Mereka adalah golongan yang percaya kepada diri mereka sendiri, kerana mereka adalah jama'ah yang dipilih oleh Allah untuk membebas dan menyelamatkan alam ini, kerana tugas tersebut mereka telah ditetapkan sebagai golongan yang mendapat keutamaan. Oleh itu mereka adalah sebaik-baik golongan yang dilahirkan di tengah-tengah manusia.

Sesungguhnya mereka adalah golongan yang mendengar seruan orang yang menyeru kepada keimanan lantas merekapun beriman. Kita mengharapkan Allah akan menumbuhkan bibit-bibit kecintaan terhadap iman seperti itu dan kita juga mengharapkan Allah menghiasi hati-hati kita dengan iman itu sebagaimana Allah menumbuhkan bibit-bibit keimanan di dalam hati-hati golongan Islam yang terdahulu. Oleh yang demikian keimanan adalah persiapan kita yang pertama.

1. Jihad Adalah Sebahagian Dari Persiapan.

Orang-orang yang terdahulu dari kita benar-benar mengetahui dan memahami bahawa dakwah mereka tidak akan mencapai kejayaan kecuali dengan jihad, pengorbanan, penyerahan harta kekayaan dan jiwa raga lantas merekapun mengorbankan diri dan harta benda mereka untuk perjuangan. Mereka berjihad pada jalan Allah dengan sebenar-benarnya. Mereka mendengar seruan Allah yang menyeru mereka:

قُلْ إِنْ كَانَ ءَابَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Maksudnya:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)." (Surah Al-Taubah 9: Ayat 24)

Sebaik sahaja mendengar seruan yang berupa ugutan itu, merekapun terus menyambutnya. Mereka membebaskan diri mereka dari segala sesuatu yang mereka cintai dengan penuh kerelaan hati malahan mereka bergembira dan merasa bahagia dengan janji setia yang mereka berikan kepada Allah.

Ada di kalangan mereka yang bertarung dengan maut tetapi masih menyeru: "Maralah menuju Allah dengan tidak membawa sebarang bekalan."

Ada juga di kalangan mereka yang mengorbankan seluruh harta benda yang dimiliki dengan berkata: "Aku tinggalkan untuk keluargaku Allah dan rasulNya."

Ada juga di antara mereka yang bermadah sedangkan mata pedang sedang berada di atas batang tengkuknya:

"Aku tetap tidak peduli

Asalkan aku seorang Muslim

Biarpun diriku dibunuh mati

Untuk Allah kematianku pasti"

Demikianlah yang telah terjadi kepada mereka, mereka berjihad dengan jihad yang benar, pengorbanannya besar, penyerahan diri yang sungguh-sungguh dan kita juga akan melakukan demikian (dengan izin Allah).

Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah

Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ia mestilah beriman dengan apa yang telah diimani oleh orang-orang Islam terdahulu yang terdiri dari angkatan Salafus-Saleh serta para Imam penyampai agama ini yang telah diakui kebaikan, kebaktian serta ketakwaan mereka. Mereka ini mempunyai kefahaman yang mendalam lagi bersih dalam urusan agama.

Bagi memastikan saya benar-benar Muslim dalam akidah maka saya mestilah beriman dengan perkara-perkara berikut:

1. Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun. Buktinya jelas pada kejadian alam ini yang penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan di antara juzuk dengan juzuk yang lain. Adalah mustahil semua kejadian ini akan kekal dan berterusan sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa. Firman Allah s.w.t:

لَوْ كَانَ فِيهِمَا ءَالِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتَا فَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan. (Surah Al-Anbiya' 21: Ayat 22)

2. Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Mada Mulia tidaklah mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Kerana mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan itu mencipta sesuatu secara sia-sia. Adalah mustahil seseorang itu dapat memahami maksud tujuan Allah menjadikan sesuatu secara terperinci melainkan melalui penjelasan Rasulullah s.a.w dan wahyu dari Allah s.w.t sendiri. Firman Allah s.w.t:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ(115)فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia. (Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)

3. Saya mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan Rasul-rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka, mengetahui asal-usul mereka dan ke mana mereka akan kembali. Saya juga beriman bahawa Rasul terakhir dari kalangan Rasul-rasul yang mulia itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang Allah kurniakan kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat yang berkekalan. Firman Allah s.w.t:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya. (Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)

4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah mengenali Allah 'Azzawajalla seperti mana yang Allah s.w.t sendiri menjelaskannya, memberi penuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Firman Allah s.w.t:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ(56)مَا أُرِيدُ مِنْهُمْ مِنْ رِزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَنْ يُطْعِمُونِ(57)إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)

5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi derhaka ialah api neraka. Allah menjelaskan:

فَرِيقٌ فِي الْجَنَّةِ وَفَرِيقٌ فِي السَّعِيرِ

"....sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk Neraka." (Surah Al-Syura 42: Ayat 7)

6. Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikan dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun demikian kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku, melainkan dengan taufik dan 'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam batasan keizinan dan kehendakNya. Firman Allah s.w.t:

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا(7)فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا(8)قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا(9)وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا(10)

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Surah al-Syams 91: Ayat 7-10)

Dan firman Allah s.w.t;

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ(38)

Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya. (Surah Al-Muddathir 74: Ayat 38).

7. Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah s.w.t. Tidak harus sama sekali manusia mendahului atau membelangkanginya. Apa yang dibolehkan ialah ilmuan Muslim atau para ulama' berijtihad mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas Syari'at dalam batas-batas yang diizinkan. Firman Allah s.w.t:

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan). (Surah Al-Syura 42: Ayat 10)

8. Saya mestilah berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah yang layak bagi kemuliaanNya. Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda:

لِلَّهِ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ اسْمًا مِائَةٌ إِلَّا وَاحِدًا لَا يَحْفَظُهَا أَحَدٌ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَهُوَ وَتْرٌ يُحِبُّ الْوَتْرَ

"Allah s.w.t mempunyai sembilan puluh sembilan nama, kurang satu seratus. Sesiapa yang menghafaznya akan memasuki syurga. Allah itu ganjil (tunggal) dan menyukai (bilangan) yang ganjil." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

9. Saya mestilah berfikir merenungi kehebatan kejadian-kejadian Allah, bukan memikirkan tentang ZatNya sebagai mengikuti dan mentaati perintah Rasulullah s.a.w:

تفكروا فى خلق الله ولا تتفكروا فى الله فإنكم لن تقدروا قدره

"Berfikirlah kamu tentang makhluk ciptaan Allah dan janganlah kamu memikirkan tentang ZatNya kerana kamu tidaklah mengetahui keadaan sebenarnya."

(Hadis diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam Al-Halyah dan Al-Asbahani meriwayatkannya di dalam Al-Taghrib wa Al-Tarhib)

10. Berhubung dengan sifat-sifat Allah s.w.t terdapat banyak ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim yang membuktikan kesempurnaan ketuhana(UluhiyyahNya). Kita dapati beberapa ayat Al-Quran membuktikan kewujudan Allah, sifat baqa' (kekal), sifat qadim (sedia ada), sifat Ia berlainan dengan segala makhluk, tidak mempunyai anak, tidak ada yang menandingiNya. Kita juga menemui ayat-ayat yang menunjukkan Tuhan itu wujud dengan sendirinya, Maha Kaya dari segala makhlukNya dan makhluk berhajat berhajat kepada kebesaranNya. Demikian juga kita menemui ayat-ayat yang menunjukkan keEsaan Allah pada ZatNya, sifat-sifatNya dan perbuatanNya, kekuasaanNya, keagunganNya dan keluasan ilmuNya ke atas sesuatu. Kita temui lagi ayat-ayat yang menunjukkan iradah Allah mengatasi segala iradah yang lain dan Allah itu bersifat hidup yang penuh dengan kesempurnaan.

Selain dari sifat-sifat yang disebut tadi, masih banyak lagi ayat-ayat yang menerangkan sifat-sifat kesempurnaan lain bagi Allah s.w.t yang tidak tercapai oleh daya pemikiran manusia yang terbatas, tentang hakikat sebenarnya. Maha Suci Allah, kita tidaklah dapat membataskan pujian kita terhadapNya sebagaimana memuji dirinya sendiri.

11. Saya mesti meyakini bahawa pendapat dan pandangan para salaf adalah lebih utama untuk diikuti supaya dapat menyelesaikan perbahasan tentang penta'wilan dan pentha'thilan sesetengah ayat suci Al-Quran, yakni membiarkan sebahagian dari sifat-sifat Allah di dalam Al-Quran dengan menyerahkan hakikat sebenar mengenai maknanya kepada Allah s.w.t.

Saya juga mesti meyakini bahawa berbagai bentuk penta'wilan sesetengah ayat-ayat tertentu oleh golongan khalaf (terkemudian) tidak wajar dijadikan sebab kepada perselisihan yang berlarutan dan jangan sampai timbul kembali perbalahan di antara golongan khalaf di masa lampau mahupun masa kini.

12. Saya juga mesti mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata tidak menyekutukan dengan yang lain. Ini saya lakukan kerana menyahut seruan Allah dan RasulNya yang menyeru manusia supaya mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata dan tidak tunduk kepada sesuatu selain Allah. Amaran ini jelas dalam firman Allah s.w.t:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. (Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)

13. Saya juga mestilah takut hanya kepadaNya dan tidak takut kepada yang lain. Perasaan takut tersebut seharusnya menyebabkan saya menjauhi kemurkaan Allah dan larangan-laranganNya.

Allah s.w.t menjelaskan:

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan. (Surah Al-nur 24: Ayat 52)

Firman Allah s.w.t seterusnya:

إِنَّ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَيْبِ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ

Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Mulk 67: Ayat 12)

14. Saya mesti sentiasa mengingati Allah dan berzikir menyebut namaNya untuk menjadikan diam saya itu adalah dalam keadaan berfikir dan apabila bercakap adalah kerana berzikir. Ini paling mujarab untuk jiwa dan senjata paling ampuh untuk menghadapi serangan-serangan zaman ini, pancaroba kehidupan serta asam garamnya. Inilah penawar yang sangat diperlukan oleh manusia zaman ini. Sungguh benar peringatan Allah yang menyatakan:

الَّذِينَ ءَامَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Surah Al-Ra'ad 13: Ayat 28)

FirmanNya lagi:

وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ(36)وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ

Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. 37- Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk. (Surah Al-Zukhruf 43: Ayat 36-37).

Dr. Briel sendiri mengakui kenyataan ini dengan menegaskan "sesungguhnya orang-orang yang berpegang teguh dengan agama, ia tidak akan dihinggapi penyakit jiwa. Manakala seorang pakar jiwa Dr. Riel Karienji menyatakan: "Sebenarnya para doktor penyakit jiwa menyedari bahawa keimanan yang kukuh dan pegangan yang teguh terhadap ajaran agama oleh seseorang adalah satu jaminan untuk menyembuhkan mereka darri penyakit gelisah, tegang perasaan, penyakit saraf dan lain-lain.

15. Saya juga wajib menyintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang menjadikan hati saya sentiasa merasa rindu dan terikat denganNya. Kecintaan itu juga mendorong saya menambah amalan-amalan kebaikan, berkorban dan berjihad di jalannya di sepanjang masa. Sekalipun hidup dalam kemewahan dan keseronokan dunia serta kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya tidak sepatutnya menghalang saya dari mencintai Allah. Ini adalah sejajar dengan seruan Allah yang mengingatkan:

قُلْ إِنْ كَانَ ءَابَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka). (Surah Al-Taubah 9: Ayat 24)

Pengorbana demikian saya lakukan adalah untuk dapat merasai kelazatan dan kemanisan iman seperti yang disyaratkan oleh Rasul yang mulia s.a.w:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

"Barang siapa yang ada padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai kemanisan iman:

1. Jika ia mencintai Allah dan rasulNya mengatasi kasihnya kepada yang lain.

2. Jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah.

3. Jika ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka.

1. Saya mesti bertawakal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan dan menyandarkan setiap urusan kepadanya. Sifat tawakal inilah yang membangkitkan kekuatan zahir dan batin di dalam jiwa dan diri saya yang menyebabkan segala kepayahan dapat dihadapi dengan mudah. Sifat ini menepati seruan Allah s.w.t:

وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

"....sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). (Surah Al-Talaq 65: Ayat 3)

Lihat betapa indahnya pesanan Rasulullah s.a.w untuk kita, di dalam sebuah hadisnya:

احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْالْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

"Peliharatitah perintah Allah nescaya ia akan memelihara engkau (sepanjang masa), peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati ia selalu di hadapanmu. Apabila kamu meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah dan apabila kamu engkau memohon hendaklah engkau memohon petolongan dari Allah. Ketahuilah, seandainya umat manusia sepakat untuk memberi sesuatu manfaat untukmu, mereka tidak dapat memberinya melainkan mengikut apa yang telah Allah tetapkan untukmu dan sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan engkau dengan sesuatu keburukan tidaklah mereka dapat melakukannya melainkan dengaan sesuatu yang Allah Taala telah tentukan ke atas dirimu, kerana telah terangkat pena dan telah kering kertas (telah ditentukan kesemuanya)."

2. Saya mestilah mensyukuri nikmat-nikmatnya ke atas diri saya yang merupakan kurniaan dan rahmat yang tidak terhitung jumlahnya. Bersyukur itu adalah satu dari tanda kemuliaan adab seseorang penerima terhadap pemberi dan pengurnia. Allah menyatakan:

وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur. (Surah Al-Nahl 16: Ayat 78)

Seterusnya Allah berfirman:

وَءَايَةٌ لَهُمُ الْأَرْضُ الْمَيْتَةُ أَحْيَيْنَاهَا وَأَخْرَجْنَا مِنْهَا حَبًّا فَمِنْهُ يَأْكُلُونَ(33)وَجَعَلْنَا فِيهَا جَنَّاتٍ مِنْ نَخِيلٍ وَأَعْنَابٍ وَفَجَّرْنَا فِيهَا مِنَ الْعُيُونِ(34)لِيَأْكُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ وَمَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ أَفَلَا يَشْكُرُونَ

Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan ia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. 34- Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air, 35- Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?. (Surah Yasin 36: Ayat 33-35)

Sebenarnya Allah s.w.t telahpun menambahkan kurnianya kepada orang-orang yang bersyukur dan mengugut akan menambah kerugian terhadap golongan yang ingkar. Firman Allah:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. (Surah Ibrahim 14; Ayat 7)

3. Saya mestilah sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah, istighfar itu dapat membersihkan diri dari dosa di samping memperbaharui taubat dan iman. Istighfar juga dapat memberikan kerehatan dan keheningan kepada jiwa.

Allah berfirman:

وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Nisa' 4: Ayat 110)

Firman Allah seterusnya:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Surah Ali-'Imran 3: ayat: 135)



4. Akhir sekali saya juga mestilah sentiasa bermuraqabah (merasai berada di bawah pengawasan) dengan Allah s.w.t dalam keadaan terang mahupun tersembunyi kerana mengingatkan firman Allah:

مَا يَكُونُ مِنْ نَجْوَى ثَلَاثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ وَلَا خَمْسَةٍ إِلَّا هُوَ سَادِسُهُمْ وَلَا أَدْنَى مِنْ ذَلِكَ وَلَا أَكْثَرَ إِلَّا هُوَ مَعَهُمْ أَيْنَ مَا كَانُوا ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا عَمِلُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Dia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahu kepada mereka pada hari kiamat, apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Mujadalah 58: 7)

Saya Mesti Memahami Sejauh Manakah

Sebenarnya menggabungkan diri dengan harakah Islamiah bukan hanya memadai dengan membuat permohonan menjadi ahli dan mendaftar nama sahaja, bukan juga sekadar berulang-alik ke markas-markas gerakan atau kelab-kelabnya dan menghadiri ijtimak-ijtimak anjuran jemaah semata-mata. Penggabungan ini mestilah membawa kepada pengertian yang lebih jauh dari itu. Penggabungan yang tidak sekadar dalam bentuk dan nilai-nilai tertentu sahaja tetapi ia adalah penggabungan yang membuktikan kemantapan akidah dan kekuatan ikatan fikrah dan tanzim.

1. Penggabungan Akidah.

Perkara pertama yang wajib diketahui apabila kita menggabungkan diri dengan Harakah Islamiah ialah sejauh manakah berlakunya penggabungan dari sudut akidah kerana Harakah Islamiah menolak penggabungan yang berdasarkan kepada (kecenderungan atau thiqah terhadap) peribadi (sahsiah) seperti yang berlaku pada pertubuhan-pertubuhan asing yang hanya mementingkan soal-soal teraju kepimpinan sahaja dan hubungan seperti inilah yang menjadi kuman-kuman yang menghancurkan pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Oleh itu penggabungan Harakah Islamiah pertama-tamanya ialah penggabungan dengan agama Islam sendiri. Penggabungan ini seterusnya menuntut kita mentaati segala titah perintah Allah s.w.t, mengharapkan rahmat serta keredaannya. Dengan cara ini penggabungan dengan harakah Islamiah tidak terjejas sekiranya berlaku kematian peribadi tertentu atau kehilangan mereka dari medan dakwah kerana sesuatu sebab, kerana penggabungan akidah mengikat seseorang dan jamaah dengan Allah s.w.t. Inilah sebenarnya yang merupakan rahsia berlakunya gerakan dakwah serta penerusannya. (Sayidina Abu Bakar r.a berkata:) "Sesiapa yang menyembah Muhammad sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah tetap hidup dan tidak mati".

Allah s.w.t berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar. (Surah Al-Fath, Ayat: 10).

Harakah Islamiah juga menolak penggabungan yang didorong oleh semangat dan perasaan yang melulu kerana Islam itu sendiri adalah sistem yang ditegakkan di atas dasar kefahaman, juga kerana matlamat bekerja untuk Islam itu sendiri adalah untuk menegakkan manhaj hidup Islam di dalam masyarakat di mana perlaksanaannya dilakukan dengan penuh kesedaran, penelitian dan secara lebih objektif. Oleh yang demikian kesedaran yang timbul dari akidah, kesedaran dalam bentuk haraki dan pegangan yang kukuh dari sudut amalan merupakan perkara yang disyariatkan untuk penggabungan diri dengan gerakan Islam. Bahkan keteguhan pendirian seseorang dalam melaksanakan amal-amal dakwah dan jaminan untuk terus kekal bersama arus dakwah serta turut mengecap kejayaannya menuntut seseorang itu memiliki kefahaman yang betul dan kesedaran yang murni terhadap makna penggabungan ini. Ramai di kalangan mereka yang gugur tercicir dari jalan dakwah ataupun bertindak meninggalkan perjalanan ini dengan begitu cepat adalah terdiri dari mereka yang turut serta atas dorongan dan perasaan yang melulu atau atas semangat dan tekanan suasana tertentu sedangkan mereka tidak memahami gambaran sebenarnya tentang jalan perjuangan ini.

Harakah Islamiah menolak penggabungan yang mengandungi maslahat atau tujuan tertentu atau dalam erti kata yang lain dijadikan sebagai batu loncatan untuk mencapai maksud dan kepentingan diri sendiri. Mereka menjadikan penggabungan diri mereka dengan jamaah sebagai satu cara untuk mencapai keuntungan peribadi sama ada dalam bentuk kebendaan ataupun masyarakat.

Sebenarnya penggabungan diri ke dalam Harakah Islamiah bererti seseorang itu mestilah mengorbankan seluruh kekuatan dan kemampuannya untuk jamaah, menyerahkan kepentingan diri untuk kepentingan jamaah, bukan sebaliknya. Inilah yang menambatkan amal dengan niat (seseorang). Intima' atau penggabungan dengan Harakah Islamiah adalah intima' dengan seluruh ruang lingkup gerak kerjanya. Oleh yang demikian tidak dapat tidak seseorang yang bergabung dengan Harakah Islamiah mestilah membersihkan (menyucikan) dan memurnikan diri dan jiwa mereka dari segala kepentingan yang rendah. Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

Sesungguhnya amalan-amalan itu hanya (dikira) dengan niat. Sesungguhnya (ganjaran) bagi setiap orang itu (diberi) berdasarkan apa yang ia niatkan. Malah sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka (balasan) hijrahnya (ialah pahala kerana) Allah dan Rasul-Nya dan sesiapa yang hijrahnya untuk dunia yang diingininya atau kerana wanita yang ingin dikahwininya maka (balasan) hijrahnya itu ialah mengikut apa yang dia niatkan.

(Muttafaqun Alaih).



2. Penggabungan Untuk Masa Depan.

Satu lagi perkara yang sepatutnya wujud di dalam penggabungan seseorang di dalam Harakah Islamiah ialah penggabungan masa depannya bersama masa depan jamaah dengan makna masa depannya (senang susahnya) mestilah terikat dengan jamaah dalam bentuk dan apa keadaan sekalipun.

Penggabungan tersebut mestilah tidak terikat atau terhenti dengan berakhirnya marhalah tertentu atau penggabungan dalam suasana tertentu, kemudian berhenti setelah berakhirnya suasana tersebut.

Penggabungan dengan jamaah juga mestilah tidak terbatas kepada zaman muda belia dan bujang sahaja, lalu berhenti setelah meningkat dewasa dan berumah-tangga.

Penggabungan ini juga mestilah tidak terbatas dalam keadaan kemiskinan, kesusahan dan kesempitan kemudian menghilang diri setelah kaya-raya dalam kehidupan dan kelapangan.

Penggabungan ini juga bukanlah terbatas di waktu keadaan aman damai, kemudian menghilang apabila ditimpa bala dan ujian.

Sebenarnya penggabungan ini mestilah penggabungan yang bersifat kekal abadi, tidak bercerai-berai, tidak berundur ke belakang dan tidak cabut lari sehingga ia kembali menemui Tuhannya dalam keadaan ia menggabungkan diri dengan Harakah Islamiah. Inilah yang dilakukan oleh para Salafussoleh bahkan inilah yang ditegaskan oleh sebahagian ayat-ayat suci Al-Quran.

Di antaranya firman Allah s.w.t:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ ءَامَنَّا بِاللَّهِ فَإِذَا أُوذِيَ فِي اللَّهِ جَعَلَ فِتْنَةَ النَّاسِ كَعَذَابِ اللَّهِ وَلَئِنْ جَاءَ نَصْرٌ مِنْ رَبِّكَ لَيَقُولُنَّ إِنَّا كُنَّا مَعَكُمْ أَوَلَيْسَ اللَّهُ بِأَعْلَمَ بِمَا فِي صُدُورِ الْعَالَمِينَ. وَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْمُنَافِقِينَ.

Yang bermaksud:

Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: Kami beriman kepada Allah; kemudian apabila dia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, dia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu dia taatkan manusia) dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu, mereka sudah tentu akan berkata: Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu. (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk? Dan sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang yang beriman dan sesungguhnya Dia mengetahui akan orang-orang yang munafik. (Surah Al-Ankabuut, Ayat: 10 - 11).

Allah s.w.t berfirman lagi:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ عَلَى حَرْفٍ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انْقَلَبَ عَلَى وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ ذَلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ

Yang bermaksud:

Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau dia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu dan kalau pula dia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah dia semula (kepada kekufuranny). (Dengan sikapnya i) rugilah dia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata. (Surah Al-Hajj, Ayat: 11).

Allah s.w.t berfirman lagi:

وَكَأَيِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ. وَمَا كَانَ قَوْلَهُمْ إِلَّا أَنْ قَالُوا رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ. فَآتَاهُمُ اللَّهُ ثَوَابَ الدُّنْيَا وَحُسْنَ ثَوَابِ الْآخِرَةِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ.

Yang bermaksud:

Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengasihi orang-orang yang sabar. 147- Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan) dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. 148- Oleh itu Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan. (Surah Aali Imraan, Ayat: 146 - 148).

Sesungguhnya dakwah yang benar ialah dakwah atau seruan supaya berpegang teguh kepada kebenaran, seruan kepada iman dan amal, seruan kepada jihad, rasa keterikatan dan kesabaran serta seruan kepada pengorbanan dan penebusan. Adalah merupakan satu kebiasaan atau satu perkara yang bersifat tabi'ie bahawa suara-suara kebenaran itu menjadikan pada pendokongnya terdedah kepada cabaran-cabaran dari pada penaja kebatilan dengan sikap mereka yang melampau, makar jahat serta tipu helah mereka. Allah s.w.t mengingatkan:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Yang bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. (Surah Muhammad, Ayat: 31).



Orang-orang yang menggabungkan diri dengan Harakah Islamiah mestilah berbeza dengan orang yang lain dari sudut rupa diri, sama ada dalam akhlak, muamalat harian mahupun syiar-syiar. Mereka mestilah menjalani kehidupan berdasarkan prinsip-perinsip mereka sendiri dan demi untuk perinsip-prinsip tersebut walaupun dalam keadaan dan suasana apa sekalipun. Bahkan mereka mestilah membuang sifat-sifat ananiah (keakuan) dan sifat-sifat mementingkan diri sendiri dengan cara mengutamakan kepentingan dakwah dan kemaslahatannya. Sifat-sifat ini dan yang seumpamanya tidak mungkin akan memancar dalam peribadi para petugas kecuali setelah melalui proses pembersihan yang panjang, pertarungan dan penderitaan yang perit sebagaimana yang disebut di dalam firman Allah s.w.t:

فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً وَأَمَّا مَا يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ

Yang bermaksud:

Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. (Surah Ar-Ra'd, Ayat: 17).

Dipandang dari sudut ini mehnah cubaan itu adalah dari Allah s.w.t supaya dengan cara itu dapat dibezakan di antara yang buruk dengan yang baik, membersihkan dan mengasingkan orang-orang yang layak dan berhak memikul tugas-tugas khalifah di bumi dan amanah yang besar lagi berat yang tidak sanggup dipikul oleh langit, bumi dan gunung-ganang. Sesungguhnya benarlah apabila Allah berfirman:

إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِثْلُهُ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ. وَلِيُمَحِّصَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَيَمْحَقَ الْكَافِرِينَ.

Yang bermaksud:

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar) dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir. (Surah Aali Imran, Ayat: 140 - 141).

Mehnah ujian yang dihadapi oleh para pendakwah di arena dakwah pada asasnya terbahagi kepada dua dan kedua-duanya berpecah pula kepada beberapa cabang ujian dan fitnah:

Pertama: Para pendakwah akan terdedah kepada berbagai bentuk ujian dan godaan seperti harta kekayaan, kemegahan, kekuasaan dan kedudukan serta pangkat sebagai tawaran yang dikemukakan agar mereka berpaling dari sebahagian atau keseluruhan prinsip-prinsip yang mereka perjuangkan. Firman Allah:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ. قُلْ أَؤُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرٍ مِنْ ذَلِكُمْ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا عِنْدَ رَبِّهِمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَأَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ.

Yang bermaksud:

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya. (Surah Aali Imraan, Ayat: 14 - 15).

Kedua: Para pendakwah akan menghadapi berbagai bentuk ugutan, tekanan dan penyeksaan di mana mereka akan dipukul, dipenjara, dibunuh, diperangi atau disekat sumber rezeki mereka. Dalam menghadapi keadaan-keadaan begini mereka wajib bersabar serta meneguhkan pendirian sehingga Allah mendatangkan ketentuan-Nya.

Allah s.w.t berfirman:

الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ. فَانْقَلَبُوا بِنِعْمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَفَضْلٍ لَمْ يَمْسَسْهُمْ سُوءٌ وَاتَّبَعُوا رِضْوَانَ اللَّهِ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَظِيمٍ.

Yang bermaksud:

Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami). Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaAllah dan ingatlah), Allah mempunyai limpkurnia yang amat besar. (Surah Aali Imraan, Ayat: 173 - 174).

Inilah yang menjadikan mehnah dan ujian ke atas para pendakwah itu sebagai satu anasir pembersihan, satu cara dari cara-cara yang dapat menapis dan meningkat anggota-anggota jamaah sebagaimana api yang membakar besi berserta kotorannya lalu menghasilkan besi yang baik. Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman:

وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Yang bermaksud:

Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Surah Al-Anbiyaa', Ayat: 35).

Di dalam risalah yang bertajuk "Bainal Amsi Wal Yaum" (Di Antara Semalam Dengan Hari Ini) di bawah tajuk: "Ranjau-ranjau di jalan kita", Asy-Syahid Hassan Al-Banna menyatakan:

"Saya suka berterus terang kepada anda sekalian, sesungguhnya dakwah kami ini mesti belum dikenali oleh orang ramai. Pada hari mereka mengenalinya dan mengetahui matlamat dan objektifnya nanti, kamu pasti menerima penentangan yang hebat dan sikap permusuhan yang ketat. Kamu akan dapati di hadapan kamu berbagai kesusahan dan halangan yang akan menghalang kamu. Pada masa itu barulah barulah kamu mula menempuh dan mengikut jalan para pendukung dakwah. Adapun sekarang mereka tidak mengetahui lagi, kamu di peringkat awal dakwah dan anda tentu bersedia dengan apa jua cara yang dikehendaki oleh perjuangan dan jihad.

Kejahilan rakyat tentang hakikat Islam akan menjadi penghalang jalan kamu. Kamu akan dapati ahli-ahli agama dan ulama-ulama yang rasmi menjadi orang yang hairan dengan kefahaman Islam kamu dan tidak mengakui jihad kamu. Semua pemerintah akan bekerjasama menjadi penghalang di hadapan muka kamu dan setiap pemerintah itu akan cuba menyekat kegiatan-kegiatan kamu dan meletakkan halangan di jalan kamu.

Lanun-lanun ini juga akan berganding bahu di setiap jalan untuk menentang kamu dan memadam sinar dakwah kamu. Mereka akan meminta bantuan pemerintah-pemerintah yang lemah dan orang-orang yang akhlaknya rendah dan tangan-tangan yang sengaja meminta sesuatu dari mereka tetapi melakukan kejahatan dan permusuhan terhadap kamu.

Kamu akan dimusuhi dan dibenci. Semuanya akan berusaha menimbulkan keraguan serta melemparkan tuduhan-tuduhan yang zalim terhadap dakwah kamu dan menunjukkan kepada manusia dengan gambaran yang paling hodoh dan kotor dengan menggunakan kekuatan dan kekuasaan yang ada pada mereka. Mereka akan menindas dengan harta-benda dan kuasa mereka.

Allah s.w.t berfirman:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Yang bermaksud:

Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (Surah As-Saff, Ayat: 8).

Dengan ini kamu akan memasuki tingkat percubaan dan ujian di mana kamu akan dipenjara, ditangkap, dipindahkan, dipencilkan, dirampas harta-benda kamu, disekat kerja-kerja kamu bahkan digeledah rumah-rumah kamu. Boleh jadi masa ujian yang bakal kamu hadapi ini panjang.

Allah s.w.t berfirman:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Yang bermaksud:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Surah Al-Ankabuut, Ayat: 2).

Tetapi Allah telah berjanji kepada kamu selepas semuanya itu, iaitu kemenangan kepada para mujahidin dan ganjaran pahala kepada orang yang melakukan amal yang baik.

Firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ. تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ. يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ. وَأُخْرَى تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ. يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُونُوا أَنْصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنْصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ اللَّهِ فَآمَنَتْ طَائِفَةٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَتْ طَائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ ءَامَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ

Yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang. (Surah As-Saff, Ayat: 10 - 14).

"Setelah memahami penjelasan demikian, apakah kamu akan tetap pendirian untuk menjadi penolong-penolong (pejuang-pejuang menegakkan agama) Allah?".