Keimanan saya dengan Islam sepatutnya sampai ke peringkat meyakini bahawa masa depan kelak ialah milik Islam. Justeru itu Islamlah yang paling ampuh dan mampu untuk menyusun urusan hidup dan memimpin manusia. Agama Islam adalah satu-satunya manhaj atau cara hidup yang selaras dengan kehendak fitrah manusia. Ia dapat mengimbangkan tuntutan lahiriah dan rohaniah insan.
Allah berfirman:
أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ
Yang bermaksud:
Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan Pentadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya! (Surah Al-Mulk, Ayat: 14).
A. Manhaj Islam Bersifat Rabbani.
Manhaj Islam yang bersifat Rabbani merupakan satu corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Ia mampu untuk kekal dan memberikan saham tamaddunnya di setiap zaman, tempat dan peringkat.
B. Manhaj Islam Bersifat Universal (Sejagat).
Manhaj Islam yang bersifat sejagat atau universal menyerlahkan ciri-ciri keinsanan dan ciri "infitah" (bersifat terbuka atau kelapangan) serta daya untuk menanggung kemungkinan-kemungkinannya. Ciri "infitah" ini mengatasi pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Cara ini sebenarnya adalah cetusan dari "Sibghah Rabbaniyah" itu sendiri.
C. Manhaj Islam Bersifat Anjal (Murunah).
Keanjalan manhaj hidup Islam (atau fleksibel) memberikannya daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti "Sibghah" atau cara ini memberikan Islam kebolehan untuk berijtihad menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tidak ada nas, sama ada melalui qias atau maslahah mursalah, Istihsan dan sebagainya.
D. Manhaj Islam Bersifat Syumul atau Menyeluruh.
Ciri manhaj Islam yang menyeluruh membedakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat yang terbatas. Manhaj Islam adalah manhaj ciptaan Yang Maha Mengetahui segala masalah manusia, baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui apa yang membahagiakan dan apa pula yang mencelakakan manusia. Sebab itu Islam sahajalah yang mampu memenuhkan keperluan manusia, baik sebagai individu, mahupun sebagai kelompok, baik dalam urusan pimpinan mahupun perundangan. Sama ada dalam urusan dalam negeri mahupun luar negeri.
Allah s.w.t berfirman:
صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ
Yang bermaksud:
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat. (Surah Al-Baqarah, Ayat: 138).
E. Kegagalan Sistem-sistem Ciptaan Manusia.
Kemudian saya harus mengetahui dan menginsafi tentang selok-belok serta kegagalan yang dialami oleh sistem hidup dan ciptaan manusia, baik di timur mahupun di barat. Sama ada yang berfahaman kapitalisme, demokrasi, liberal, sosialisme atau komunisme. Tidak syak lagi ini adalah kerana keterbatasannya, kelemahannya, sifat kesementaraannya dan hakikat ianya dari ciptaan insan.
E.1 Kegagalan Sistem Sosial.
Dalam arena sosial, sistem-sistem yang dipanggil sebagai sistem kanan atau kirinya ternyata gagal untuk memantapkan kebahagiaan, keharmonian dan kestabilan. Malah terlalu banyak mala petaka yang ditanggung oleh manusia hasil dari sistem-sistem ini. Ternyata ikatan kekeluargaan semakin terburai. Kasih-sayang semakin pudar, akhlak semakin luntur dan runtuh. Nilai-nilai keutamaan dan keluhuran sudah kehilangan harga. Ketegangan dan permusuhan mengambil tempat kedamaian dan ketenangan. Semangat egoistik dan mementingkan diri mengalahkan semangat kerjasama dan mengutamakan orang lain.
E2. Kegagalan Sistem Ekonomi.
Dalam bidang Ekonomi, kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal dalam mewujudkan (syura impiannya) atau masyarakat serba adil sebagaimana yang dilaung-laungkan. Dari sistem ini tercetuslah bermacam-macam krisis dan permasalahan hidup. Lahir pertarungan kasta, kezaliman sosial, eksploitasi kepartian, monopoli, kemiskinan, pengangguran dan seribu satu macam masalah lagi.
E.3 Kegagalan Sistem Politik.
Dalam arena politik sistem-sistem ala ketenteraan, Demokrasi, Republik, yang beraja atau tidak beraja, bertanggungjawab melahirkan, merangsang serta membiarkan penyelewengan serta kebejatan di setiap peringkat. Penyalahgunaan kuasa, sikap pilih kasih, rasuah, merasa besar diri dengan kekuasaan, di samping bencana fitnah, pembunuhan, penggulingan kuasa silih berganti, pemberontakan, penyingkiran serta bunuh diri (assasination) hampir-hampir menjadi kelaziman sistem-sistem tersebut.
E.4 Kegagalan Sistem Ketenteraan.
Dalam bidang ketenteraan, sistem-sistem ini (banyak menanggung dosa) mengabaikan nasib masyarakat dan negara Islam yang lemah seperti persoalan Kashmir, Eriteria, minoriti Islam di Filipina, persoalan Palestine dan sebagainya. Yang lebih parah dari itu ada pula negeri Arab yang menjadikan krisis tersebut sebagai daun dalam permainan politiknya untuk menggadaikan atau mempergunakannya sebagai isu dan untuk menjamin kekuasaan mereka agar berlarutan. Sistem ini juga bertanggungjawab terhadap pengabaian membina kekuatan fizikal dan jiwa ummah yang membolehkan mereka menghadapi penjajahan dan mengusir Israel dari bumi Palestine.
Sunday, July 1, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment