Monday, July 2, 2007

Maudhu' dakwah

Maudhu’ atau kandungan dakwah yang akan dibicarakan di bawah adalah khusus untuk masyarakat umum iaitu untuk memenuhi marhalah al-ta’rif sahaja.

Secara umumnya, maudhu’ dakwah ialah ajaran Islam kerana ia merupakan risalah yang dibawa oleh para rasul dan satu-satunya agama yang diredhai Allah.
Di antara kandungan dakwah yang perlu diketengahkan kepada masyarakat umum khususnya melalui majlis-majlis ilmu (kuliah maghrib, zohor dan lain-lain), ceramah umum dan penulisan ialah:
1. Asas-asas ajaran Islam yang mencakupi persoalan Iman, Islam dan ihsan Persoalan iman (aqidah) hendaklah diperjelaskan dalam lingkungan ajaran al-Quran dan al-Sunnah yang sahih dengan mudah dan jauh daripada penghuraian ahli kalam yang memeningkan kepala.
Persoalan yang perlu ditekankan ialah huraian berkenaan rukun-rukun Iman.
Persoalan Islam (fiqh) pula hendaklah diajar dengan menjauhkan daripada perselisihan mazhab dengan menjelaskan dalil dan hikmah pensyariatan serta mengaitkannya dengan kehidupan.
Persoalan yang perlu ditekankan ialah huraian berkenaan rukun-rukun Islam. Persoalan ihsan (akhlak) juga hendaklah diajar dengan menjauhkannya daripada pelampauan ahli tasawuf dan penghuraian yang tidak memberi manfaat oleh ahli falsafah.
Di antara jenis-jenis ihsan yang perlu dihuraikan ialah:
· Ihsan dengan pengertian muraqabatullah
· Ihsan dengan pengertian berbakti kepada Allah
· Ihsan kepada umat Islam dengan cara memperkukuhkan hubungan al-ukhuwwah fillah
· Ihsan kepada semua makhluk dengan maksud bermuamalah dengan baik bersama mereka
· Ihsan dengan pengertian melakukan sesuatu tugasan dengan penuh tekun dan bersungguh-sungguh
2. Pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah Pentafsiran yang dimaksudkan ialah tafsiran yang bersesuaian dengan apa yang telah dihuraikan oleh fuqaha’ dan mufassirin terdahulu serta mengaitkannya dengan realiti dan isu-isu semasa yang dihadapi oleh masyarakat dan umat Islam sedunia.
Pentafsiran juga perlu menepati dengan cara yang telah digariskan oleh para ulama’ dan mufassirin supaya dalil-dalil tersebut difahami dengan jelas serta diketahui sabab nuzul ayat dan sabab wurud hadith.
Selain itu, dakwah juga perlu dijauhkan daripada pengaruh isra’iliyat dalam pentafsiran atau dicampuradukkan dengan hadith-hadith yang dicipta.
Ini memerlukan kepada ketelitian serta penguasaan ilmu yang sempurna.
3. Memperjelaskan tentang halangan dan ancaman dakwah daripada pihak pemerintah serta berusaha menghadapinya.
Berhubung dengan maudhu’ di atas, sirah nabawiyah, sirah para sahabat serta perjalanan hidup para pejuang dan tokoh-tokoh Islam dari kalangan ulama’ dan orang-orang yang soleh hendaklah diberi penjelasan yang berbentuk haraki sebagaimana yang terkandung di dalam Fiqh al-Sirah, Fiqh al-Harakah dan lain-lain.
Isu-isu semasa yang diperbahaskan juga perlu dikaitkan dengan sirah dan peristiwa sepanjang sejarah umat Islam untuk dijadikan pengiktibaran dan pengajaran.
4. Menolak salah faham terhadap Islam dan tuduhan palsu terhadap Parti (Jamaah) Sanggahan terhadap salah faham dan tuduhan-tuduhan palsu terhadap Islam dan PAS boleh dilakukan melalui perbualan, diskusi, seminar,majlis-majlis ilmu, ceramah umum dan tulisan.
Ini bermakna setiap ahli parti boleh menyempurnakan tanggungjawab ini dan tidak perlu diserahkan kepada golongan ustaz semata-mata.
Ianya perlulah dipikul bersama dengan setiap pihak memainkan peranan untuk mempertahankan jamaah daripada fitnah dan tohmahan nista pihak-pihak musuh.
Dengan keterbatasan media dan saluran penyampaian maklumat, usaha untuk menangkis segala tuduhan tidak berasas ini perlu dilakukan dengan teratur demi mempertahankan maruah jamaah.
Secara lebih terperinci, di antara maudhu’ dakwah yang boleh diketengahkan kepada masyarakat ialah sebagaimana berikut:
Iman
1. La ilaha illa Allah sebagai Manhaj al-Hayah
2. Beriman kepada Para Malaikat
3. Kisah-kisah Perjuangan Para Rasul
4. Beriman kepada kandungan al-Quran
5. Beriman kepada hari Qiamat
6. Beriman kepada Qadha’ dan qadar
Islam
1. Syahadatain : Konsep dan Tuntutannya
2. Solat : Kesempurnaan, Tuntutan dan Fadhilatnya
3. Puasa : Tuntutan dan Fadhilatnya
4. Zakat : Tuntutan dan Fadhilatnya
5. Pedoman Haji
6. Hukum-hukum Muamalat
7. Hukum-hukum Munakahat
8. Hukum-hukum Jenayah Islam
Akhlak, Disiplin dan Fikrah Perjuangan (Tarbiyah)
1. Kemuliaan Akhlak sebagai tujuan Utama Perutusan Rasulullah
2. Sepuluh Rukun Bai’ah (faham, ikhlas, amal, jihad, pengorbanan, taat, tetap pendirian, tajarrud, ukhuwwah dan thiqah)
3. Kepentingan Wala’ Dalam Perjuangan Islam
4. Konsep Syura dan Tuntutannya
5. Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Dakwah (Fathi Yakan)
6. Pendidikan Anak-anak (Abdullah Nasih ‘Ulwan)
Dakwah dan Jihad
1. Dakwah dan Jihad : Konsep dan Tuntutannya
2. Ciri-ciri Jamaah Islam (Haji Harun Taib)
3. Mengenali Perlembagaan PAS
4. Mehnah dan Tribulasi Dalam Perjuangan
5. Kisah-kisah Perjuangan Para Sahabat
6. Pengurusan Dakwah
Sistem Politik Islam
1. Konsep Negara Islam
2. Konsep Pengasingan Kuasa Menurut Islam
3. Hak-hak Non-Muslim Di Dalam Negara Islam
4. Konsep Khilafah Islamiyah
5. Perhubungan Antarabangsa Islam dan lain-lain

No comments: